Rezeki anak sempena kehadiran Ramadan

Rezeki anak sempena kehadiran Ramadan

am@hmetro.com.my

Seremban: “Mungkin ini rezeki anak sempena kehadiran Ramadan kerana dapat meringankan sedikit beban saya,” kata Nur Fatihah Mohd Anuar, 25, yang menerima bayaran pampasan daripada Pertubuhan Keselamatan Sosial (Perkeso) selepas kematian suami pada 11 Mac lalu.

Suaminya, Nor Aiqal Syazmir Aziz, 27, maut selepas motosikalnya ditungganginya terbabit dalam kemalangan dengan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) Proton X70 di Kilometer 29, Jalan Seremban-Kuala Pilah.

Lebih memilukan, pekerja penghantar di sebuah syarikat kurier itu meninggalkan seorang anak yang baru berusia lima bulan dan pada hari kejadian, pasangan berkenaan mengadakan majlis akikah untuk bayi perempuan mereka.

Nur Fatihah berkata, ketika kejadian mereka tinggal di Kuala Pilah dan suami berulang-alik ke Seremban setiap hari.

“Pada hari kejadian kami mengadakan majlis akikah untuk anak, namun suami tidak dapat cuti dan kena bekerja.

“Bagaimanapun, saya menerima panggilan daripada ibu saudara kira-kira 7 pagi (hari kejadian) memaklumkan dia ada menerima gambar kemalangan membabitkan suami. Dari situ saya tahu suami terbabit dalam kemalangan ketika dalam perjalanan ke tempat kerja.

“Majlis akikah sepatutnya diadakan pada 11 pagi, tetapi suami sudah pergi sebelum itu. Dia tidak sempat bersama kami dalam majlis untuk anak kesayangan kami ini,” katanya, hari ini.

Terdahulu, Nur Fatihah menerima kunjungan Exco Pelaburan, Perindustrian, Keusahawanan, Pendidikan dan Modal Insan negeri, Datuk Dr Mohamad Rafie Ab Malek yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (Adun) Ampangan.

Hadir sama, Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir.

Nur Fatihah berkata, dia mendirikan rumah tangga dengan Nor Aiqal Syazmir lebih setahun lalu dan lelaki itu adalah satu-satunya pencari nafkah untuk keluarga.

“Dengan pampasan yang diberikan Perkeso ini, dapat meringankan sedikit perbelanjaan saya memandangkan tidak bekerja dan kini tinggal bersama ibu bapa di Taman Negeri, Ampangan.

“Mungkin selepas habis tempoh edah, saya akan cari kerja atau buat sesuatu. Apa pun, saya bersyukur kerana urusan Perkeso ini dipermudahkan dan saya anggap sebagai rezeki anak sempena kehadiran Ramadan,” katanya.

Sementara itu, Pengarah Perkeso Negeri Sembilan, Nur Mohammad Bakhtir Mohamad Akhir berkata, Nur Fatihah memperoleh Faedah Pengurusan Mayat sebanyak RM2,000 selain turut menerima Faedah Orang Tanggungan.

“Perkeso juga akan menjaga dan mengambil berat terhadap cahaya mata mangsa melalui Program Prihatin Keluarga Angkat Perkeso (Protek),” katannya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top