am@hmetro.com.my
Melaka: Remaja perempuan berusia 14 tahun disyaki berada di bawah pengaruh dadah jenis ‘mushroom’ bertindak mengelar leher dan pergelangan tangannya di sebuah rumah di Jonker Walk, di sini, Ahad lalu.
Ketua Polis Melaka, Datuk Dzulkhairi Mukhtar berkata, kejadian jam 10.33 malam itu dipercayai berlaku selepas mangsa berang apabila dihalang oleh ibu angkatnya berusia 49 tahun daripada bertemu teman lelaki berumur 17 tahun.
Menurutnya, mangsa kemudian masuk ke bilik tidur di tingkat satu rumah sebelum bertindak mencederakan diri menggunakan sebilah pisau.
“Ibu angkat mangsa mendakwa remaja itu berada dalam keadaan tertekan dan dipercayai di bawah pengaruh jenis ‘mushroom’ sebelum kejadian berlaku.
“Mangsa kemudian dihantar ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan di Zon Kuning Unit Kecemasan sebelum dilaporkan stabil,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Beliau berkata, siasatan turut mendapati remaja itu mula terdedah kepada penggunaan vape selepas diperkenalkan oleh teman lelakinya yang juga pelajar Tingkatan Empat sejak Februari lalu.
Katanya, ibu angkat mangsa juga merampas peranti vape bagi menghalang remaja itu daripada terus menggunakannya selain siasatan turut mendapati bahan berkenaan dipercayai dibekalkan oleh teman lelaki mangsa.
“Setakat ini, siasatan lanjut masih dijalankan terhadap semua individu termasuk ibu angkat dan penghuni rumah berumur antara 14 hingga 17 tahun,” katanya.
Kes disiasat mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001 kerana dipercayai wujud unsur kecuaian atau pengabaian terhadap mangsa.
Jika sabit kesalahan, individu terbabit boleh dikenakan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda maksimum RM20,000 atau kedua-duanya sekali.
Media pada Selasa lalu melaporkan mangsa menerima rawatan di Hospital Melaka selepas ditemui dengan kesan kelar di leher di sebuah rumah di sekitar Banda Hilir.
Mangsa berusia 14 tahun dilaporkan selamat selepas dikejarkan ke Hospital Melaka untuk mendapatkan rawatan lanjut sejurus kejadian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




