Warga emas didakwa diserang pegawai MBPJ

Warga emas didakwa diserang pegawai MBPJ

safeek@bh.com.my

Kuala Lumpur: Pejabat Parlimen Petaling Jaya mendesak Majlis Bandaraya Petaling Jaya (MBPJ) memberi penjelasan berhubung kes pegawainya menyerang seorang lelaki warga emas ketika operasi menangkap anjing liar.

Terdahulu, tular satu video memaparkan seorang lelaki warga emas ‘diserang’ pegawai MBPJ ketika cuba melindungi anjingnya daripada ditangkap.

Ahli Parlimen Petaling Jaya Lee Chean Chun berkata, pejabatnya sudah mengeluarkan satu surat rasmi kepada MBPJ selepas video insiden itu tular.

“Pejabat saya memohon pencerahan daripada MBPJ mengenai prosedur operasi standard (SOP) sekiranya ada, yang diguna pakai ketika operasi menangkap anjing liar.

“Ini termasuk tatacara pegawai yang terbabit ketika operasi berkenaan dan saya berharap siasatan secara terperinci dijalankan oleh unit integriti dan perkara ini tidak berulang lagi,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Dalam video yang tular itu, seorang anggota penguat kuasa juga dilihat memukul lelaki itu dengan batang besi yang digunakan untuk menangkap anjing.

Kejadian itu dilaporkan berlaku di Taman Kanagapuram, Off Jalan Klang Lama, Petaling Jaya, namun tidak dapat dipastikan bila insiden berkenaan berlaku.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top