London: Pengurus England, Thomas Tuchel digesa untuk menggugurkan Anthony Gordon selepas persembahan hambar pemain sayap itu ketika seri tanpa jaringan menentang Ghana dalam aksi kedua Kumpulan L Piala Dunia.
Gordon beraksi selama 65 minit dalam perlawanan terbabit namun gagal memberi impak besar kepada jentera serangan England.
Pemain berusia 25 tahun itu hanya melakukan satu percubaan ke arah gol dan mencipta dua hantaran penting sepanjang perlawanan tetapi prestasinya tetap mengundang kritikan.
Bekas pemain tengah Tottenham Hotspur, Jamie O’Hara menyifatkan Gordon jauh daripada prestasi terbaiknya dan percaya Marcus Rashford lebih layak berada dalam kesebelasan utama.
“Gordon bermain dengan teruk. Saya tidak peduli apa yang orang lain katakan. Dia memang tidak berada pada tahap yang sepatutnya dan perlu bermain lebih baik.
“Rashford mesti diturunkan dalam kesebelasan utama. Saya tahu ada cerita mengenai kecederaan kecil Rashford tetapi apabila dia masuk, dia memberi impak besar.
“Anda tidak boleh memilih Gordon berbanding Rashford. Rashford adalah pemain yang lebih baik,” katanya.
Prestasi kurang meyakinkan Gordon di Piala Dunia turut menimbulkan persoalan mengenai perpindahannya ke Barcelona pada Mei lalu.
Bekas pemain Newcastle United itu menyertai gergasi Sepanyol berkenaan menerusi perpindahan bernilai £70 juta (RM381 juta) dan menandatangani kontrak selama lima tahun.
Bekas penyerang Aston Villa dan England, Gabby Agbonlahor serta pengulas radio, Adrian Durham turut mempertikaikan nilai perpindahan tersebut.
Durham memberikan penilaian hanya satu daripada 10 kepada Gordon selepas perlawanan.
“Barcelona, sila semak semula resit pembelian itu,” katanya secara sinis.
Agbonlahor pula berkata ‘£70 juta untuk Gordon, Newcastle pasti sedang ketawa.
“Dia tidak begitu menyerlah musim lalu dan juga kurang berkesan dalam perlawanan pertama.”
© New Straits Times Press (M) Bhd




