HIKMAH 12:
ربما كنت مسيئاً فأراك الإحسانَ منك صحبتُك إلى من هو أسوأ حالاً منك
“Boleh jadi kamu buruk tapi kamu nampak dirimu baik kerana kamu bersahabat dengan orang lebih buruk darimu.”
Maksud:
1. Mungkin sukar untuk kita nampak keburukan kita sendiri bila kita berkawan dengan orang yang lebih buruk. Selalu sahaja ada alasan dalam diri ‘tak apalah aku solat lewat. Kawan aku tak solat terus’.
2. Justeru kena ramaikan kawan yang lebih baik dari diri kita. Jangan berasa malu nak berkawan dengan orang baik. Rasa malu itulah permulaan untuk kita berubah ke arah lebih baik.
3. Bukan tak boleh berkawan dengan orang lebih buruk. Tapi kita kena pastikan kita ada kawan baik. Jangan dikelilingi kawan buruk sahaja. Nanti bukan sahaja kita tak berubah jadi lebih baik, tapi boleh terpengaruh jadi lebih buruk seperti mereka pula.
Ibrah Ramadan:
Kalau bulan lain, kita biasa lepak dengan rakan sekerja, kawan-kawan rapat atau ahli kelab. Biasanya yang sekepala dan kita selesa. Macam-macam latar belakang kita campur.
Tiba bulan Ramadan, mungkin ramai di kalangan kita menjinakkan diri ke masjid atau program ibadah. Ambil peluang untuk mengenali kawan-kawan baru di sana. Bina jaringan bersama orang-orang baik dan kekalkan hubungan bersama mereka setelah habis Ramadan.
ALANG IBN SHUKRIMUN – HARAKAHDAILY 3/4/2023
The post 30 Hikam Ibn Ataillah Assakandari (12) appeared first on HarakahDaily.