amir_hamid@mediaprima.com.my
Cyberjaya: Pengenalan cukai minimum global (GMT) kelak kepada syarikat multinasional (MNC) pada kadar minimum 15 peratus tidak akan menyebabkan keyakinan pelabur untuk melabur di negara ini menurun.
Timbalan Menteri Kewangan I Datuk Seri Ahmad Maslan berkata, beliau tidak khuatir jika cukai GMT itu dikenakan kepada semua syarikat MNC yang bertapak di negara ini kerana pelabur akur dengan standard antarabangsa.
Katanya, terdapat beberapa faktor dan tarikan membuatkan pelabur yakin dan bersedia melabur di negara ini.
“Saya kira pelabur datang ke Malaysia kerana kestabilan politik, kedua adalah prasarana yang baik, ketiga kerana kita boleh menyediakan pekerja yang berkemahiran kepada pelabur.
“Jadi selain daripada insentif cukai, itu tiga perkara yang boleh kita adakan untuk mereka. Sebelum ini empat tahun setengah politik negara kita tidak stabil tetapi kini politik sudah stabil,” katanya selepas menyempurnakan Majlis Iftar dan Penyerahan Sumbangan Lembaga Hasil Dalam Negeri (LHDN) 2023 di Ibu Pejabat LHDN, di sini, hari ini.
Ahmad berkata, beliau berharap Rang Undang -Undang (RUU) berkaitan GMT dapat dibentang di Dewan Rakyat pada tahun ini.
Menurutnya, cukai GMT itu satu daripada kaedah baharu yang dilaksanakan di seluruh dunia kepada syarikat multinasional pada kadar minimum 15 peratus.
“Kertas berkaitan RUU itu sedang disediakan oleh Bahagian Cukai Kementerian Kewangan dengan kerjasama Jabatan Peguam Negara (AGC).
“Kementerian Kewangan kini sedang mempertimbangkan bagi memberikan insentif bukan cukai kepada MNC bagi menarik lebih lagi pelaburan asing.
“GMT memang perlu dilaksanakan dan boleh menjadi sumber baharu bagi hasil cukai negara, mungkin selepas diperkenalkan kita boleh dapat (sasaran) RM1 bilion sebagai permulaan,” katanya.
Malaysia adalah antara 136 negara yang diumumkan Pertubuhan Kerjasama dan Pembangunan Ekonomi (OECD) sebelum ini sebagai negara yang sudah bersedia melakukan reformasi sistem percukaian antarabangsa itu.
Pelaksanaan sistem cukai itu adalah untuk memastikan entiti perniagaan membayar cukai secara adil di negara hos dan mengelak kebocoran cukai.
© New Straits Times Press (M) Bhd




