mdroji@bh.com.my
Kuching: Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat, Datuk Seri Nancy Shukri akan mengadakan pertemuan dengan Menteri Dalam Negeri, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail bagi mendapatkan maklumat terperinci berhubung isu ‘Axia merah’.
Nancy berkata, beliau hanya mengetahui isu itu menerusi laporan media serta komen yang tersebar di media sosial.
Menurutnya, turut akan dibincangkan ialah kewajaran remaja perempuan bawah umur itu digari ketika dibawa ke mahkamah untuk mendapatkan perintah tahanan reman.
“Jika melihat kepada media sosial, saya boleh memberi komen dari sudut Seksyen 15 Akta Kanak-Kanak iaitu kanak-kanak perlu dilindungi, tidak boleh ditunjuk muka atau sebut nama bagi menjamin masa depan mereka mereka tidak terjejas.
“Tetapi apa yang berlaku kita lihat ada beberapa pelanggaran termasuk kewajaran remaja bawah umur itu digari dan sebab itulah saya akan berbincang dengan polis serta Menteri Dalam Negeri bagi mendapatkan butiran lanjut kes itu,” katanya.
Beliau berkata demikian ketika ditemui selepas Program Kasih Ramadan KPWKM di sini, hari ini.
Nancy berkata, pertemuan itu penting bagi membolehkannya mendapatkan gambaran sebenar kes yang tular di media sosial itu.
“Diharapkan apa yang berlaku itu tidak seperti dan tidak mahu orang ramai keliru dengan pelbagai komen di media sosial,” katanya.
Jumaat lalu, pasangan kekasih yang tular di media sosial kerana disyaki melakukan perbuatan jelik dalam kenderaan direman dua hari mengikut Seksyen 377D Kanun Keseksaan.
Sementara itu, mengenai isu taska di Putrajaya, Nancy berkata, pihaknya sedang meneliti untuk menambah baik garis panduan serta peraturan operasi taska.
“Kita akan memperbaiki peraturan dari semasa ke semasa bagi menyediakan panduan untuk petugas berdasarkan syarat-syarat yang dikemaskini.
“Buat masa ini, pihak kami masih menunggu tindakan lanjut polis terhadap kes berkenaan termasuk hasil penelitian kamera litar tertutup (CCTV) berkaitan kes berkenaan,” katanya.
Jumaat lalu, tular hantaran artikel bergambar yang dimuat naik menerusi akaun Facebook “EL Ameerah” berkaitan kecederaan yang dialami kanak-kanak perempuan berusia satu tahun semasa berada di sebuah taska.
Media turut melaporkan ibu kanak-kanak itu akan mengambil tindakan undang-undang terhadap taska berkenaan yang didakwa mengabaikan anaknya yang ditinggalkan bersama beberapa orang kanak-kanak lain di sebuah bilik tanpa pengawasan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




