Alcaraz sah tidak beraksi di Roland Garros

Alcaraz sah tidak beraksi di Roland Garros

Madrid: Juara bertahan dua kali Terbuka Perancis, Carlos Alcaraz mengesahkan tidak akan beraksi pada edisi tahun ini kerana sedang menjalani proses pemulihan kecederaan pergelangan tangan.

Pemain dari Sepanyol itu berkata keputusan untuk menamatkan kempen gelanggang tanah liat dibuat selepas menerima keputusan ujian pada pergelangan tangan kanannya, sekali gus menyaksikan dia juga terlepas aksi Terbuka Itali.

“Kami membuat keputusan bahawa langkah paling selamat adalah dengan berhati-hati dan tidak menyertai kejohanan di Rome atau Roland Garros.

“Ini waktu sukar buat saya, tetapi saya yakin kami akan kembali lebih kuat,” katanya di media sosial sambil menjelaskan dia dan pasukannya akan memantau proses pemulihan sebelum menentukan bila dan di mana dia akan kembali beraksi.

Alcaraz mengalami kecederaan itu ketika pusingan pertama Terbuka Barcelona minggu lalu, di mana dia menewaskan Otto Virtanen sebelum menarik diri daripada kejohanan itu.

Pemain berusia 22 tahun itu sebelum ini mengumumkan penarikan diri daripada Madrid Masters pada 17 April, sekali gus menimbulkan kebimbangan mengenai peluangnya beraksi di Terbuka Perancis.

Alcaraz mencipta sejarah sebagai pemain lelaki termuda melengkapkan karier Grand Slam pada Januari lalu selepas muncul juara Terbuka Australia. Dia mencatat rekod 22 menang dan tiga kalah musim ini selain turut menjuarai kejohanan di Doha.

Ketika ini menduduki ranking kedua dunia, Alcaraz kehilangan kedudukan nombor satu selepas tewas kepada Jannik Sinner pada final Monte Carlo Masters, 12 April lalu.

Pemenang tujuh gelaran Grand Slam itu menjuarai Roland Garros pada 2024 dan 2025, termasuk menyelamatkan tiga mata kejuaraan ketika menentang Sinner tahun lalu dalam final paling panjang dalam sejarah kejohanan itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top