Kuantan: Perak FC mencatat kemenangan pertama pada saingan Liga Super selepas menewaskan Sri Pahang FC 2-0 di Stadium Darul Makmur, malam ini.
Kejayaan itu ternyata memberi suntikan semangat kepada Perak manakala Sri Pahang tidak bernasib baik apabila tewas buat kali kedua berturut-turut.
Pada perlawanan itu, kedua-dua pasukan bermain berhati-hati dan tiada percubaan berbahaya dilakukan dalam usaha mendapatkan gol pendahuluan.
Bagi Perak, peluang terbaik mereka hadir daripada Raianderson Morais tetapi rembatan pemain import itu sedikit melepasi palang gol tuan rumah pada minit ke-18.
Pada minit ke-28, tuan rumah pula memiliki peluang membolosi gawang Perak namun pemain tengah, Shahrul Aizad Zulkifli gagal melakukan penyudah tepat.
Namun, dua minit sebelum tamat separuh masa pertama, tuan rumah dikejutkan gol pendahuluan Perak menerusi jaringan J Partiban yang menewaskan penjaga gol, Helmi Eliza Elias.
Bersambung babak kedua, Perak yang dikendalikan Chong Yee Fatt terus memberi tekanan kepada Sri Pahang dan berjaya menjaringkan gol kedua menerusi Farhan Roslan sekali gus Helmi Eliza tewas buat kali kedua. Ketinggalan dua gol, skuad kendalian Thomas Dooley berusaha untuk mengurangkan defisit gol tetapi berjaya disekat pertahanan lawan dan akhirnya tepaksa akur kekalahan kedua berturut-turut dialami Sri Pahang.




