Dasar tidak memihak Malaysia tarik pelaburan pertahanan antarabangsa – PM

Dasar tidak memihak Malaysia tarik pelaburan pertahanan antarabangsa – PM

hafidzul@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Dasar pendirian tidak memihak Malaysia menjadikan negara ini destinasi menarik untuk pelaburan dan perkongsian pertahanan antarabangsa, kata Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Beliau berkata, dasar berkenaan membolehkan Malaysia mengekalkan hubungan kerjasama yang baik dengan semua rakan strategik utama di peringkat global.

“Pembekal Malaysia memasuki rantaian bekalan tanpa komplikasi politik yang sering menyukarkan keputusan penyumberan di tempat lain.

“Dalam keadaan semasa, itu adalah pertimbangan komersial yang sebenar,” katanya ketika berucap merasmikan Pameran Perkhidmatan Pertahanan Asia (DSA) dan Keselamatan Kebangsaan (NATSEC) Asia 2026, di di Pusat Pameran dan Perdagangan Antarabangsa Malaysia (MITEC) hari ini.

Menurutnya, syarikat tempatan juga kini menjadi komponen penting dalam rantaian nilai global.

“Asas industri pertahanan yang sedang dibangunkan kerajaan bertunjangkan kemampuan syarikat tempatan memperoleh dan mengekalkan kedudukan mereka dalam rantaian bekalan antarabangsa bersandarkan kekuatan hasil kerja, serta disiplin yang memenangi dan mengekalkan sesuatu kontrak,” katanya.

Pada masa sama, Anwar berkata, kerajaan memberi jaminan penuh bahawa hak cipta serta harta intelek pelabur akan dilindungi dengan segera dan terjamin.

“Kawalan perdagangan strategik akan dikuatkuasakan. Kontrak akan dipertahankan. Undang-undang akan terpakai kepada semua pihak dengan cara yang sama, tanpa pengecualian,” katanya.

Perdana Menteri menjelaskan, peranan kerajaan dalam hal ini adalah untuk mewujudkan persekitaran serta landasan yang kondusif bagi membolehkan pelaburan dan urusan kerja yang serius dilaksanakan.

“Keputusan komersial adalah hak milik syarikat.

“Apa yang menjadi tanggungjawab kami (kerajaan) adalah kualiti asas yang mendasari keputusan berkenaan,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pameran berkenaan, beliau berkata perbincangan paling penting bakal berlangsung antara pelbagai pihak yang mungkin baru pertama kali bertemu, berusaha menyelesaikan masalah yang belum ditakrifkan sepenuhnya, serta memulakan perancangan awal yang berupaya membuahkan hasil untuk jangka masa panjang.

“Kami gembira dapat menjadi tuan rumah kepada perbincangan berkenaan dan kami menantikan apa yang akan terhasil daripadanya,” katanya.

Pameran DSA dan NATSEC Asia 2026 bertemakan ‘Mempertingkat Keupayaan dan Ketahanan Melalui Teknologi’ itu menampilkan pelbagai program padat.

Ini termasuk pameran oleh pemain industri pertahanan tempatan dan antarabangsa, penganjuran forum pertahanan, majlis menandatangani kontrak, serta penyerahan Surat Niat (LOI) dan dokumen Program Kolaborasi Industri (ICP).

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top