zaidim@bh.com.my
KUALA LUMPUR: Silih berganti kontroversi menghimpit pelakon cantik, Hannah Delisha, 25, sejak mendirikan rumah tangga dengan pelakon Singapura, Imam Shah, 32.
Selepas mengejutkan ramai berkahwin secara senyap pada 18 Februari lalu, timbul pula isu perkahwinan Hannah dan Imam tidak direstui ibu Hannah yang juga penyanyi Singapura, Noor Ashikin Ahmad.
Noor Ashikin memuat naik puisi berbentuk luahan hati, Hikayat Antah Berantah yang dipercayai dituju kepada anaknya menerusi laman sosial, Instagram (IG), tiga hari lalu. Menguatkan spekulasi apabila tanda pagar #ibutakrestu diletakkan dalam entri berkenaan.
Belum pun sempat menjawab persoalan yang ditimbulkan ibunya, Hannah dan Imam didakwa sudah berkahwin sejak setahun lalu. Spekulasi baru timbul apabila ibu mentua Hannah, Mariana Yati berkongsi beberapa gambar majlis perkahwinan Hannah dan Imam. Ini termasuklah gambar model dan pelakon, Eleena Sui yang turut hadir pada majlis perkahwinan berkenaan menerusi laman Facebook.
Bagaimanapun, gambar Eleena memakai busana berwarna biru duduk diapit Hannah dan suami dikatakan ‘kantoi’. Agak memeranjatkan Eleena pernah berkongsi memakai baju sama dan duduk atas pelamin pada majlis perkahwinan Hannah dan Imam pada tarikh 19 Februari tahun lalu.
Menerusi perkongsian dalam IG Story, malam ini, Hannah memuat naik kenyataan untuk meleraikan persoalan yang timbul mengenainya, sejak akhir-akhir ini.
“Assalamualaikum, saya memohon maaf atas perhatian yang tidak dikehendaki terhadap saya pada saat ini.
“Ya, saya juga memiliki masalah peribadi seperti orang lain. Saya mohon maaf cerita mula keluar menjadi tatapan umum,” tulisnya.
Pelakon filem Langsuir itu berkata, dia hanya mahu mengetengahkan bakatnya menerusi kerja, bukannya kisah peribadi sejak awal melangkah ke dunia seni.
“Saya sedaya upaya menjauhi diri gosip dan membawa nama negara kelahiran, Singapura dengan bermaruah.
“Saya berharap dapat berjalan atas paksi sama, insya-Allah,” tulisnya.
Hannah berkata, dia tidak menduga atas apa yang terjadi padanya.
“Sekali lagi, saya mohon maaf atas berita yang tidak menyenangkan mengenai saya dan keluarga. Anda layak menerima hal lebih baik berbanding kisah ini daripada saya.
“Apa yang dipinta adalah doa kalian dan berikan ruang privasi pada saat diuji,” tulisnya.
Sebelum ini, pelakon kacukan Melayu-Inggeris mengejutkan ramai apabila memilih Imam sebagai suami.
Hannah dan Imam disatukan dalam ikatan suami isteri dalam majlis akad nikah yang diadakan di Singapura. Berita gembira itu hanya dikongsi menerusi IG.
Sementara itu, ibu mentua Hannah, Mariana meluahkan rasa simpati terhadap apa yang berlaku pada menantunya itu.
Mariana yang juga pelakon Singapura mendakwa, hubungan Hannah dan ibunya sudah keruh sekian lama.
“Hannah budak baik. Saya kasihan melihatnya menangis setiap hari. Saya sentiasa mendoakan hubungan Hannah dan ibunya kembali pulih.
“Sebagai ibu, anak pun sudah selamat berkahwin, jadi doakan yang baik-baik sahajalah. Siapa kita mahu menolak takdir dan ketentuan Allah SWT,” katanya kepada sebuah portal hiburan.
© New Straits Times Press (M) Bhd




