syazrina@hmetro.com.my
Bahagian Kesihatan Pergigian (BKP), Jabatan Kesihatan Negeri Selangor (JKNS), melancarkan Kempen 6020 sempena ‘ ‘ dan ‘World Orthodontic Health Day’ Peringkat Negeri Selangor 2026 dalam usaha memperkukuh promosi kesihatan pergigian di negeri ini.
Timbalan Pengarah Kesihatan Negeri (Pergigian) JKNS Dr Salleh Zakaria berkata, tema kepada kedua-dua program berkenaan menekankan bahawa kesihatan mulut memainkan peranan penting dalam menentukan kualiti hidup seseorang termasuk aspek pemakanan dan pertuturan.
“Melalui Kajian Tinjauan Kebangsaan Kesihatan dan Morbiditi (NHMS) 2018, didapati 18.8 peratus warga emas memerlukan rawatan pergigian, manakala 59.2 peratus melaporkan kualiti hidup berkaitan kesihatan mulut yang rendah.
“Justeru, Kempen 6020 ini bukan sekadar satu sasaran kesihatan, tetapi satu inisiatif penting dalam usaha memperkukuh agenda kesihatan awam negara, khususnya dalam memastikan rakyat Malaysia menikmati kualiti hidup yang lebih baik sehingga ke usia emas,” katanya ketika melancarkan program itu di Aeon Mall Bukit Tinggi, Klang, di sini, baru-baru ini.
Turut hadir Pegawai Pergigian Daerah, Pejabat Kesihatan Pergigian Daerah Klang, Dr Alwani Mohd Zuhudi; Ketua Pakar Pergigian Ortodontik Negeri Selangor selaku pengerusi bersama Dr Wan Aini Wan Yahaya; wakil dari Pepsodent Malaysia, Rozita Ramli; dan Eksekutif Pemasaran Kanan AEON Mall Bukit Tinggi, Nur Hashimah Mazlan.
Hadir sama, wakil dari ‘Malaysian Association of Orthodontist’, Prof Madya Dr Yasmin Kamarudin; Ketua Jabatan Kesihatan Majlis Bandaraya Diraja Klang, Azmi Muji; Ketua Penolong Pengarah Kanan, Bahagian Kesihatan Pergigian Selangor, Dr Masriza Mohamad; Pegawai Promosi Kesihatan Pergigian Negeri Selangor, Dr Effarah Izlin Ab Jabar dan Pegawai Promosi Pergigian Daerah Klang, Dr Noor Azilah Ab Aziz.
Dalam pada itu, Dr Salleh berkata, kerjasama erat antara kerajaan, sektor swasta, pertubuhan bukan kerajaan dan komuniti amat penting bagi memastikan kejayaan kempen ini.
“Saya yakin dengan komitmen berterusan semua pihak, Kempen 6020 mampu menjadi satu gerakan yang memberi impak besar dalam meningkatkan tahap kesihatan pergigian rakyat.
“Marilah kita bersama-sama menjadikan amalan penjagaan kesihatan mulut sebagai satu budaya dalam kehidupan seharian,” katanya.
Sementara itu, BKP dalam kenyataan memaklumkan, pihaknya melaksanakan beberapa inisiatif utama termasuk Kempen 6020 yang menekankan kepentingan mengekalkan sekurang-kurangnya 20 batang gigi asli pada usia 60 tahun.
“Kemudian, sambutan World Oral Health Day meningkatkan kesedaran masyarakat terhadap penjagaan kesihatan mulut secara menyeluruh dan World Orthodontic Health Day yang memberi tumpuan kepada kepentingan kesihatan serta penjajaran gigi untuk kualiti hidup yang lebih baik.
“Ketiga-tiga program berkenaan bertujuan memupuk kesedaran, pencegahan awal dan amalan penjagaan kesihatan pergigian dalam kalangan masyarakat,” kata kenyataan itu.
Difahamkan, program itu berlangsung dari 24 hingga 26 April, bermula jam 10 pagi hingga 10 malam, di sini.
Pengunjung yang hadir berpeluang mendapatkan kit pergigian percuma daripada Pepsodent, selain menikmati pemeriksaan dan konsultasi gigi percuma bersama lapan pakar pergigian.
© New Straits Times Press (M) Bhd




