Jangan asyik bergantung harap pada KWSP – Azlan

Jangan asyik bergantung harap pada KWSP – Azlan

KUALA LUMPUR – Pengerusi Eksekutif Haji Land Berhad, Datuk Muhammad Azlan Al Aminamat berharap supaya masyarakat umum tidak begitu bergantung harap dengan pengeluaran Kumpulan Wang Simpanan Pekerja (KWSP) bagi tujuan meringankan kehidupan terdesak ketika ini.

Katanya, rakyat yang terjejas ekonominya dan keperluan kehidupan tidak terikut-ikut dengan tindakan mengeluarkan wang tersebut membuta tuli yang akhirnya akan merugikan diri sendiri kelak.

Kata jutawan hartanah itu, sejak dahulu lagi wang KWSP buat simpanan hari tua kerana tidak ada sesiapa pun yang tahu apakah yang akan berlaku ketika itu.

“Pengeluaran KWSP, duit kita sendiri ketika belum capai umur 55 tahun ini sebenarnya langkah populis sahaja.

“Ramai yang terdesak meminta wang itu kerana bersikap jangka masa pendek tetapi kita juga perlu tapi kita kena tengok untuk jangka masa panjang, kesan kepada negara dan kesan kepada mereka sendiri pada masa hadapan.

“Duit ini hanya akan memberi keselesaan dan kepuasan sementara jangka masa panjang akan mengundang lebih banyak masalah ekonomi kepada rakyat dan menyebabkan mereka melarat.

“Keadaan sekarang memang ada kesukaran, tapi saya rasa bukanlah terlampau sukar, kita bukanlah mengalami krisis ekonomi yang terlalu gawat sehingga memaksa semua kantung-kantung kita kena pecahkan.

“Bertahan, kurangkan perbelanjaan-perbelanjaan tidak berfaedah yang tidak membantu sangat,” katanya kepada MalaysiaGazette baru-baru ini.

Untuk makluman Muhammad Azlan menjadi bualan umum apabila berjaya membawa tahap kehidupannya daripada bergelar keluarga paling miskin di daerah Besut, Terengganu kepada jutawan hartanah dengan memiliki pelbagai bisnes berkaitan bidang itu.

Malah Muhammad Azlan juga sebelum mula berjinak dalam dunia hartanah pernah menjadi pengutip sampah bagi membantu keluarga yang hidup begitu sukar sekitar 90-an sehingga tahun 2000.

Kata Muhamad Azlan lagi, beliau sebenarnya agak ‘terbiasa’ dengan situasi terdesak dan miskin yang pernah menyebabkan keluarganya sukar untuk mendapatkan sesuap nasi.

“Kerana itu juga saya beri nasihat ini, bukan kerana saya sudah bergelar jutawan dan bina empayar seperti ini. Saya juga pernah duduk di tempat susah itu namun itulah cabaran dan pemangkin untuk saya berjaya.

“Kita masih ada banyak lagi jalan keluar. Kalau kita tengok sekarang, kalau berfikir secara positif, kita boleh menghasilkan dan mencipta banyak kaedah-kaedah baharu dalam perniagaan, supaya perniagaan kita itu terus ada kesinambungan,” ujarnya.

Tambah beliau lagi, pengeluaran wang KWSP bukan jalan keluar altenatif terakhir sebaliknya kerajaan perlu ada sumber lain untuk membantu rakyat.

Jelasnya, kerajaan juga perlu mencari alternatif supaya kebergantungan kepada wang KWSP ini tidak diteruskan saban kali.

“Kita harus ingat bahawa wang KWSP ini adalah simpanan masa tua dan Malaysia sedang menuju ke arah masyarakat menua pada tahun 2030,” ujarnya. -MalaysiaGazette

Scroll to Top