Pelakon popular, Fasha Sandha sudah mempunyai 30 persalinan daripada pelbagai rekaan untuk digayakan sepanjang sambutan Hari Raya Aidilfitri tahun ini.
Menurut laporan Utusan, apa yang menarik adalah pemilik nama Nur Fasha Sandha Hassan itu tidak membelanjakan wang sebaliknya kesemua busana tersebut ditaja oleh sebuah jenama tekstil sempena pelantikannya sebagai duta baru-baru ini.
“Setiap hari saya akan pakai satu persalinan. 30 pasang baju itu terdiri daripada pelbagai rekaan seperti baju kurung dan abaya.
“Jenama ini lengkap dengan pelbagai pilihan dan ahli keluarga saya semuanya akan mengenakan koleksi Alfaro,” kata pelakon berusia 39 tahun itu.
Mengulas lanjut, Fasha memaklumkan dia hanya akan menerima tawaran sebagai duta sekiranya keberkesanan terhadap produk berkenaan diyakini.
Ini kerana pelakon drama Serpihan Sayang itu bukan hanya memikirkan bayaran tetapi mengambil kira kesan yang akan dialami oleh setiap pengguna.
“Sebab itu selalunya saya jadi duta mesti lebih setahun dengan mana-mana produk. Orang tahu saya bukan jenis menipu dan sekadar ambil duit semata-mata. Kita juga tidak akan dapat keberkatan dengan cara tersebut.
“Jadi duta kita mesti betul-betul gunakan barangan tersebut sebab hendak yakinkan orang lain,” ujarnya.
Sumber: Utusan, Instagram Fasha Sandha



