Nyanyian buat anak muda

Nyanyian buat anak muda

am@hmetro.com.my

BINTANG hip hop yang semakin mencipta nama Asyraf Nasir menganggap penampilan dengan single terbaharu berjudul See My Level mampu mengukuhkan lagi jenamanya dalam industri.

Asyraf yang bakatnya dicungkil menerusi pertandingan hip hop, RapStar anjuran sebuah stesen radio tempatan terbukti berjaya mencuri tumpuan penggemar muzik tempatan dengan beberapa lagu dan projek kolaborasi.

Selepas muncul dengan single 2PAI pada 2021 dan Hati Terbaik (2022), Asyraf berkata, lagu See My Level hasil ciptaan Shazee Ishak itu mampu menjadi sebuah ‘lagu tema’ untuk setiap orang yang sudah bertungkus lumus mencapai tahap tinggi dalam perjalanan hidup mereka.

“Ia sebuah lagu untuk mereka yang ada ‘standard’ yang tinggi, seperti tagline yang dipopularkan oleh Diva AA (Azwan Ali). Saya bersama-sama Shazee dan Kowachee bersemuka di dalam studio untuk lebih mengenali apakah perkara yang dialami oleh seorang berusia 13 tahun pada zaman sekarang.

“Di era digital ini mungkin orang zaman sekarang lebih matang dan cepat memahami mengenai pelbagai perkara. Satu benda yang saya sedar, Kowachee sangatlah matang bagi umur dia. Macam bersembang dengan orang 20 tahun. Tapi antara perkara yang kita faham sebagai seorang insan yang dah lama dan muda dalam industri hiburan ini, ada masa yang dia rasa tak boleh nak masuk sama pemikiran dengan mereka yang sama umur dengannya.

“Susah betul nak ‘relate’ adalah kata-kata yang pertama dikeluarkan ketika lagu ini ditulis dan memang padan kenyataan ini dimulakan dalam lagu,” katanya.

Berkongsi mengenai pengalaman dalam menjayakan muzik video dan lagu ini, Asyraf berkata semuanya berjalan dengan lancar hasil kerjasama dan aura yang bertenaga daripada semua pihak.

Menarik lagi, empunya tagline ‘See My Level’ juga hadir ke lokasi rakaman sebagai pemberi semangat dan sokongan pada penyanyi.

Kowachee turut meluahkan rasa syukur dan gembira kerana berpeluang bekerja dengan pasukan yang profesional.

“Sesi proses rakaman agak santai. Kami berkomunikasi bersama untuk membina idea. Saya juga dapat belajar sambil menulis lirik sendiri. Semasa proses rakaman lagu, ini pertama kali saya masuk studio.

Sebelumnya, saya ada sesi berborak dengan penerbit dan Asyraf.

“Macam rakaman video muzik pula, alhamdulillah tidak ada pengalaman yang sukar. Semua berjalan dengan lancar. Kru dan pasukan produksi pun sangat menepati waktu. Saya juga dapat jumpa Diva AA dan dia seorang yang sangat baik dan lawak. Apa yang penting kami semua seronok dapat bekerjasama,” katanya.

Menurut Kowachee, dia berterima kasih dan gembira dapat bekerjasama dengan semua pasukan yang dianggap profesional.

“Bekerja dengan orang yang sangat kreatif dan menyeronokkan dalam video muzik adalah pengalaman yang menarik dan tidak boleh dilupakan. Asyraf seorang yang sangat berkarisma dan ada aura yang gembira, jadi bila bekerja dengan dia proses menjadi seronok.

“Cuma, cabaran saya untuk penggambaran video muzik ini adalah memandangkan saya masih bersekolah, ja

di kena asingkan masa sekolah dan Asyraf pun ada projek dia sendiri tetapi kerja berpasukan yang ada membuatkan semuanya menjadi nyata dan mudah.

“Apa pun, saya berharap peminat suka, menonton dan mendengar berulang kali lagu ini. Saya juga berharap dapat banyak maklum balas positif jadi saya boleh menambahbaik untuk lagu lain,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top