am@hmetro.com.my
Johor Bahru: Seramai 36 murid dan guru berdepan detik cemas apabila Tadika Sri Orkid Jaya, Taman Bukit Tiram di Ulu Tiram, di sini yang beroperasi pada cuti umum hari ini, terbakar.
Jurucakap Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Johor Jaya, Mohd Salleh Mohamed berkata, kebakaran disedari pada 8.30 pagi sebelum guru dan murid terbabit segera meninggalkan tadika terbabit.
Beliau berkata, semua murid dan guru terselamat serta kejadian tidak membabitkan sebarang kemalangan jiwa.
“Bomba menerima panggilan kecemasan pada 8.38 pagi. Tadika itu didapati beroperasi walaupun hari ini cuti umum.
“Susulan itu, seramai lapan anggota dibantu jentera Fire Rescue Tender (FRT) dan satu Unit Bantuan Perkhidmatan Kecemasan (EMRS) ke tempat kejadian,” katanya menerusi kenyataan pada hari ini.
Beliau berkata, kebakaran membabitkan rumah dua tingkat berkeluasan 126 meter persegi meter dan api dapat dikawal dalam masa 10 minit.
“Punca kebakaran dan jumlah kerugian masih dalam siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




