MEXICO CITY: Aksi pembukaan Piala Dunia 2026 di Stadium Azteca bukan sahaja menyaksikan kemenangan tuan rumah Mexico, malah turut diwarnai layangan tiga kad merah dalam perlawanan sengit menentang Afrika Selatan, hari ini.
Di hadapan puluhan ribu penyokong yang membanjiri stadium ikonik itu, Mexico memulakan kempen dengan langkah kanan selepas menewaskan Afrika Selatan 2-0 menerusi jaringan Julian Quinones dan Raul Jimenez.
Quinones terlebih dahulu menceriakan penyokong tuan rumah apabila meledak gol pembukaan pada minit kesembilan sebelum tandukan Jimenez mengesahkan kemenangan Mexico menerusi jaringan kedua pada minit ke-67.
Bagaimanapun, keputusan perlawanan itu bukan satu-satunya perkara yang menjadi perhatian apabila pengadil terpaksa beberapa kali mengeluarkan kad merah dalam aksi yang berlangsung dengan penuh ketegangan.
Detik pertama berlaku pada minit ke-50 apabila pemain tengah Afrika Selatan, Yaya Sithole diperintahkan keluar padang selepas melakukan kekasaran yang mengundang tindakan tegas pengadil.
Kad merah tersebut menjadikan Sithole sebagai pemain pertama yang dibuang padang pada saingan Piala Dunia 2026, sekali gus mencatat rekod yang tidak mahu diingati oleh pemain berkenaan.
Bermain dengan 10 orang nyata menyukarkan usaha Afrika Selatan untuk bangkit mencari gol penyamaan selepas ketinggalan sejak awal permainan.

Malang buat skuad Bafana Bafana apabila penderitaan mereka bertambah pada minit ke-84 apabila kapten pasukan, Themba Zwane pula dilayangkan kad merah, menyebabkan mereka terpaksa bermain dengan sembilan pemain.
Kehilangan dua tonggak penting dalam tempoh 34 minit memusnahkan harapan Afrika Selatan untuk mencabar Mexico yang semakin selesa mengawal rentak permainan.
Namun, drama belum berakhir apabila pertahanan Mexico, Cesar Montes turut menerima kad merah pada masa kecederaan, tepatnya minit ke-92.
Keputusan itu menyaksikan tiga pemain diperintahkan keluar padang dalam satu perlawanan, menjadikan aksi pembukaan Piala Dunia 2026 antara perlawanan paling panas dan penuh kontroversi setakat ini.
Bagi Mexico, kemenangan tersebut memberikan permulaan sempurna dalam misi memburu kemaraan ke pusingan kalah mati, manakala Afrika Selatan pula perlu segera memperbaiki untuk bangkit pada perlawanan seterusnya.
Sebagai rekod, Afrika Selatan merupakan pasukan pertama yang menerima dua kad merah dalam perlawanan Piala Dunia sejak 2006, apabila Portugal dan Belanda masing-masing dilayangkan kad merah dalam perlawanan pusingan 16 mereka.-AGENSI




