WASHINGTON – Amerika Syarikat (AS) menafikan dakwaan Rusia bahawa ia mendalangi serangan dron ke atas Kremlin pada hari Rabu lalu dengan tujuan untuk membunuh Presiden Vladimir Putin.
Sehari selepas menuduh Ukraine melakukan serangan itu, jurucakap Putin mendakwa serangan tersebut dilakukan dengan sokongan Washington.
Jurucakap Keselamatan Negara AS, John Kirby menyifatkan dakwaan Kremlin sebagai ‘menggelikan’.
Dalam pada itu, Ukraine menegaskan, ia tiada kaitan dengan dakwaan serangan itu.
Sebaliknya, Ukraine menuduh Moscow melancarkan insiden itu untuk meningkatkan perang.
Semasa kejadian, Putin tidak berada di dalam bangunan tersebut.
Walaupun serangan Rusia berterusan tanpa henti hingga mengakibatkan 21 orang terbunuh pada Rabu lalu di wilayah Kherson di selatan namun masih belum ada tanda-tanda peningkatan di pihak Moscow.
Bagaimanapun, pada petang Ahad sebuah dron ditembak jatuh di ruang udara Kyiv, tidak terlalu jauh dari pejabat presiden.
Pegawai Rusia mengesahkan ia adalah dron Ukraine yang telah “hilang kawalan” dan dimusnahkan untuk mengelakkan “akibat yang tidak diingini”.
Rakaman di media sosial menunjukkan asap berkepul-kepul di atas kompleks itu.
Video lain pula menunjukkan letupan kecil di atas tapak bangunan Senat dan dua lelaki kelihatan sedang memanjat kubah.
Pada hari Khamis, jurucakap Kremlin, Dmitry Peskov berkata, “tidak syak lagi” AS berada di belakang serangan yang dikatakan itu, tanpa memberikan bukti.
“Keputusan mengenai serangan sedemikian tidak dibuat di Kyiv, tetapi di Washington,” tambah Peskov. – Agensi




