Netizen suruh Zynakal masuk hospital mental?

Netizen suruh Zynakal masuk hospital mental?

zaidim@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Hati penyanyi dan komposer muda, Zynakal tersinggung apabila netizen masih mengungkit isu kesihatan mental dan kisah silamnya.

Bukan tidak boleh menerima hakikat, namun penyanyi lagu Sakit itu mahu ‘move on’ daripada sisi gelap hidupnya, selain penyakit bipolar mania yang dilalui.

Namun, hidup Zynakal atau nama sebenarnya, Muhammad Raziq Rosli tidak mudah apabila sering menjadi sasaran netizen. Ada sahaja kejian dilemparkan hingga diminta masuk hospital sakit jiwa.

“Tiada apa yang dapat boleh dilakukan dengan sifat netizen yang suka mencari salah dan silap, biarpun apa yang berlaku sudah lama.

“Jujurnya, saya tidak mahu ambil pusing dengan mulut orang. Ia juga langsung tidak berbekas kepada tahap kesihatan mental saya.

“Ubat penstabil emosi atau penenang yang diambil pun atas saranan doktor. Saya tidak boleh berhenti mengambilnya secara mengejut. Cuma, dos sahaja semakin dikurangkan ketika bertemu dengan doktor pakar,” katanya kepada BH Online.

Zynakal berkata, dia bukannya melayan komen negatif netizen secara sengaja, sebaliknya ia terjadi tanpa diduga, apatah lagi, komen negatif dilayangkan dalam akaun laman sosialnya.

“Bukannya melayan, namun saya manusia biasa. Komen mereka secara terang-terangan dilontar dalam ruangan komen laman sosial milik saya. Jadi, pastinya saya akan terbaca juga walaupun niat saya sebolehnya mahu mengelak membaca komen negatif.

“Namun, saya tidak pula sampai tahap mencari apa yang diperkatakan mengenai saya dalam laman peribadi mereka. Saya hanya baca sekilas lalu sahaja, senyum dan terus fikirkan perkara positif,” katanya.

Katanya, dia juga tidak lepas daripada perasaan berkecil hati sebagai manusia biasa.

“Ya betul, saya sakit dan masih berusaha mengubatinya. Saya juga manusia punya rasa dan jiwa. Terasa mungkin sudah menjadi perkara biasa.

“Namun, cara mengatasi rasa sensitif paling utama. Saya masih berusaha untuk kembali normal seperti sedia kala. Saya juga mengharap sokongan peminat. Tak mengapa jika mereka tidak suka, tetapi janganlah sampai menghina,” katanya.

Penyanyi lagu Terbang itu akur inilah jalan dipilih dan harga yang perlu dibayar saat bergelar artis.

“Saya sudah hadam perkara ini dalam fikiran pada saat melangkah dalam industri hiburan. Namun, sejujurnya tak sangka begitu hebat harga yang perlu dibayar.

“Tidak mengapa, saya cuba memahami satu persatu. Tambahan pula dunia digital yang seakan tiada batas ini, semuanya di hujung jari. Jadi, saya sudah belajar menerima pandangan secara 360 darjah,” katanya.

Cuma, tegas Zynakal, ada masanya dia juga lemah.

“Saya manusia biasa, ada turun naik. Ada kala saya kuat untuk berdepan dengan dugaan. Kecaman mungkin perkara biasa, namun jika ia tidak terlalu sensitif.

“Netizen sekarang suka mengeluarkan perkataan seolah-olah manusia lain tiada hati dan perasaan,” katanya.

Dalam pada itu, mengulas kanvas seninya, Zynakal berkata, dia sedang bertungkus lumus menyiapkan beberapa lagu baharu.

“Semuanya demi menjayakan album penuh yang diharap dihadiahkan kepada peminat, tahun ini.

“Saya perlukan doa dan semangat untuk projek ini. Saya akui memperlahankan rentak kerana ingin memberikan karya yang berkualiti untuk halwa telinga peminat,” katanya.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top