KSN arah kementerian teliti semula status tanah, elak buka ruang aktiviti tidak sah

KSN arah kementerian teliti semula status tanah, elak buka ruang aktiviti tidak sah

nooratiqah.sulaiman@bh.com.my

Kuala Lumpur: Semua kementerian diarahkan untuk meneliti semula status tanah milik Pesuruhjaya Tanah Persekutuan yang dikenal pasti sudah lama tidak dibangunkan.

Ketua Setiausaha Negara (KSN), Tan Sri Shamsul Azri Abu Bakar, berkata kewujudan tanah terbiar membuka ruang kepada pelbagai aktiviti tidak sah dan melanggar peraturan.

“Ia termasuklah pembinaan penempatan setinggan, rumah ibadat tanpa kebenaran serta kegiatan komersial yang melanggar peraturan,” katanya dalam Facebook, hari ini.

Susulan itu, Shamsul Azri berkata platform seperti Mesyuarat Jawatankuasa Khas Pembangunan dan Kegunaan Tanah Persekutuan akan dimanfaatkan sepenuhnya untuk berbincang bersama semua kementerian dalam mencari penyelesaian yang adil, praktikal dan memberi manfaat kepada semua pihak.

Sebelum ini, Sultan Kedah, Sultan Sallehuddin Sultan Badlishah memandang serius isu pembinaan rumah ibadat tanpa kelulusan sah sama ada di atas tanah kerajaan atau tanah persendirian.

Baginda bertitah, setiap pelaksanaan dalam apa jua perkara hendaklah berlandaskan undang-undang dan peraturan yang berkuat kuasa.

Titah baginda, sebarang tindakan yang mengetepikan saluran serta kelulusan yang sah adalah sesuatu yang tidak boleh dikompromi.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top