hafizithnin@mediaprima.com.my
Kuala Lumpur: Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) menerusi Ops V380 menyita sebanyak 6,916 unit kelengkapan komunikasi disyaki tidak diperakui dengan anggaran nilai keseluruhan RM2.06 juta.
MCMC dalam kenyataan memaklumkan, operasi itu yang dilaksanakan pada 24 Jun lalu menyasarkan sebuah syarikat dipercayai terbabit dalam penjualan serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi tidak diperakui dan tidak mematuhi piawaian teknikal ditetapkan.
“Antara kelengkapan komunikasi disita ialah kamera litar tertutup tanpa wayar (wireless CCTV). Turut disita bagi membantu siasatan ialah komputer, mesin pencetak, telefon bimbit dan penghala WiFi (WiFi router).
“Ops V380 dilaksanakan hasil maklumat risikan menerusi kerjasama strategik antara MCMC dengan SIRIM QAS International Sdn Bhd selaku agensi pemerakuan berdaftar,” katanya di sini, hari ini.
Seramai 44 pegawai terbabit dalam operasi yang dijalankan secara serentak di sebuah gudang penyimpanan di Klang serta sebuah premis yang dijadikan pejabat urusan dan studio siaran langsung di Johor Bahru.
MCMC berkata, siasatan awal mendapati kelengkapan komunikasi berkenaan ditawarkan dan dijual melalui platform e-dagang termasuk TikTok Shop dan Shopee.
“Seramai lapan individu termasuk pengurus syarikat, pembantu gudang dan hos siaran langsung dirakam percakapan bagi membantu siasatan.
“Penjualan dan penggunaan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui boleh menjejaskan keselamatan pengguna kerana tidak mematuhi piawaian teknikal yang ditetapkan,” katanya.
MCMC berkata, selain berpotensi menjejaskan prestasi dan kebolehpercayaan peranti, penggunaannya juga boleh menyebabkan gangguan kepada rangkaian komunikasi serta menjejaskan kualiti perkhidmatan komunikasi.
“Kes disiasat mengikut Peraturan 16, Peraturan-Peraturan Komunikasi dan Multimedia (Standard Teknik) 2000 yang memperuntukkan hukuman denda maksimum RM300,000 atau penjara sehingga tiga tahun atau kedua-duanya sekali jika disabitkan kesalahan.
“MCMC akan terus mempergiat tindakan penguatkuasaan terhadap penjualan, pengedaran serta pemilikan bagi tujuan penjualan kelengkapan komunikasi yang tidak diperakui,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




