PHNOM PENH: Jaguh lompat kijang negara, Andre Anura Anuar menepati ramalan untuk meraih pingat emas di Sukan SEA Kemboja 2023 hari ini.
Atlet dari Sabah itu berjaya melakukan catatan 16.06 meter (m) dalam aksi berlangsung di Stadium Nasional Morodok Techo, Phnom Penh sekaligus mengatasi catatan pencabar dari Filipina, Ronnie Auxilio Mapilay yang melakukan catatan 15.74 m.
Pingat gangsa menjadi milik pelumba Mark Harry Aloto Diones yang melakukan catatan 15.70 m.
Kejayaan ini meneruskan dominasi Malaysia dalam acara lompat kijang sejak Sukan SEA Singapura 2015 yang dimenangi Hakimi Ismail pada ketika itu.
Bagaimanapun Andre menjelaskan catatan yang dilakukannya di Phnom Penh masih belum di tahap terbaik kerana dia pada mulanya meletakkan sasaran tinggi untuk memecahkan rekod kebangsaan.
“Keadaan di sini amat panas dan kebanyakkan atlet menghadapi masalah untuk melakukan catatan terbaik. Saya cuba berikan yang terbaik dalam keadaan sebegini tetapi cuaca sini menyukarkan keadaan. Saya memang merancang dengan jurulatih saya untuk memecahkan rekod kebangsaan tetapi ia tidak menjadi kenyataan.
“Saya mengalami kesakitan di kaki kiri selepas tergelincir ketika melakukan lompatan dan saya pula akan bertanding di Terbuka Taiwan (27-28 Mei), jadi saya tidak mahu terlalu menekan diri saya terlalu banyak dan menjejaskan peluang saya untuk bertanding di sana,” jelas Andre.




