Jangan sesekali memasang Jalur Gemilang secara terbalik atau mengibarkannya tanpa mengikut tatacara yang ditetapkan kerana bendera kebangsaan merupakan simbol maruah serta kedaulatan negara yang perlu sentiasa dihormati.
Foto: Sinar Harian
Memetik laporan Sinar Harian, Pengarah Majlis Keselamatan Negara (MKN) Kelantan, Datuk Mohd A Aruwan Abd Aziz berkata, pemahaman masyarakat mengenai kaedah pemasangan dan pengibaran Jalur Gemilang perlu dipertingkatkan bagi mengelakkan kesilapan, termasuk memasangnya dalam keadaan terbalik.
“Bendera ini bukan satu perkara yang boleh dianggap kecil, ia berkait dengan integriti sesebuah negara dan menjadi lambang kedaulatan.
“Jika memasang Jalur Gemilang, pastikan pemasangannya dibuat dengan betul dan tepat,” katanya kepada pemberita ketika ditemui pada Program Semarak Merdeka Komuniti Madani Tawang di Pantai Irama, pada Jumaat.
Menurut beliau, MKN dengan kerjasama Polis Diraja Malaysia (PDRM), Jabatan Penerangan Malaysia, pihak berkuasa tempatan dan Pejabat Daerah mengambil inisiatif mendekati masyarakat menerusi program turun padang.
Usaha itu bukan sahaja bertujuan menyemarakkan semangat patriotisme, malah memberi penerangan kepada orang ramai mengenai kaedah pengibaran Jalur Gemilang yang tepat.
Katanya, kira-kira 500 Jalur Gemilang turut diagihkan kepada komuniti setempat menerusi program berkenaan, termasuk kepada peniaga, pengguna kenderaan dan orang awam.
“Kami juga menggunakan platform media sosial termasuk TikTok bagi menyampaikan maklumat dan meningkatkan kesedaran berkaitan perkara ini.
“Dalam tempoh ini kami tidak menerima kes pemasangan Jalur Gemilang secara terbalik di Kelantan,” jelasnya.
Dalam pada itu, Ketua Polis Daerah Bachok, Superintenden Mohamad Ismail Jamaluddin berkata, pihak polis meningkatkan pemantauan di seluruh daerah berkenaan bagi memastikan bendera yang dipasang di premis kerajaan, swasta, bangunan serta sepanjang laluan awam berada dalam keadaan baik dan dipasang mengikut tatacara ditetapkan.
Beliau berkata, pemantauan itu dilaksanakan melalui rondaan anggota melibatkan empat kawasan balai polis dalam daerah Bachok sehingga berakhirnya sambutan Bulan Kebangsaan.

“Anggota rondaan diarahkan supaya turut memerhatikan keadaan bendera yang dipasang di bangunan kerajaan, premis swasta dan sepanjang jalan,” katanya.
Mohamad Ismail berkata, mana-mana individu atau premis yang memasang Jalur Gemilang secara terbalik atau tidak mengikut ketetapan boleh disiasat mengikut Seksyen 5 Akta Lambang dan Nama (Mencegah Penggunaan Tidak Wajar) 1963, Seksyen 14 Akta Kesalanan-Kesalahan Kecil 1955 atau Seksyen 505(b) Kanun Keseksaan.
Sementara itu, beliau berkata, pihak polis turut menjangkakan peningkatan penganjuran aktiviti konvoi sepanjang Bulan Kebangsaan.
Artikel lain: Tiada kompromi! Kerajaan Johor sita premis perindustrian pasang Jalur Gemilang terbalik
Sehubungan itu, beliau mengingatkan penganjur dan peserta supaya memastikan semua aspek keselamatan diberi perhatian serta syarat yang ditetapkan dipatuhi sepanjang aktiviti berlangsung.
“Penganjur bertanggungjawab memastikan keselamatan peserta dan pengguna jalan raya diberi keutamaan selain memastikan peserta mempunyai lesen memandu serta perlindungan insurans yang diperlukan.
“Sekiranya berlaku pelanggaran undang-undang jalan raya, tindakan sewajarnya akan diambil,” tambahnya lagi.
Sumber: Sinar Harian (Adila Shahrinni Wahid)

