LATEST

‘Sepatutnya saya yang berundur hari ini’ – Hannah

‘Sepatutnya saya yang berundur hari ini’ – Hannah

nurul.hidayah@hmetro.com.my

Kuala Lumpur: Timbalan Setiausaha Publisiti Kebangsaan DAP Hannah Yeoh meluahkan rasa kesal susulan keputusan Anthony Loke Siew Fook meletak jawatan sebagai Menteri Pengangkutan berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Hannah yang juga Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) berkata, beliau sepatutnya menjadi individu yang berundur, namun Loke mahu memastikan segala janji kepada rakyat ditunaikan dan tugasan yang masih belum selesai dibereskan.

“Sepatutnya saya yang berundur hari ini, tetapi Setiausaha Agung saya mahu kami menunaikan segala janji kepada rakyat dan menyelesaikan kerja yang masih belum selesai.

“Akhirnya, beliau sendiri membayar harga itu,” luahnya menerusi hantaran di Facebook, hari ini.

Terdahulu, Loke yang juga Setiausaha Agung DAP mengumumkan peletakan jawatan berkuat kuasa serta-merta, hari ini.

Loke dalam kenyataan hari ini memaklumkan keputusan itu adalah susulan keputusan Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur hari ini membenarkan Datuk Seri Najib Razak menjalani tahanan rumah.

Sebelum ini, media melaporkan Loke juga sudah menyerahkan surat peletakan jawatan sebagai Menteri Pengangkutan kepada Perdana Menteri pada 28 September lalu.

Loke mengumumkan meletak jawatan Menteri Pengangkutan selepas mesyuarat Jawatankuasa Eksekutif Pusat (CEC) DAP pada 19 September lalu susulan isu pengampunan bersyarat terhadap Najib yang juga bekas Perdana Menteri.

Bagaimanapun, Loke memaklumkan menteri dan timbalan menteri lain daripada DAP akan kekal dalam Kerajaan Perpaduan.

Terdahulu, media melaporkan Najib akan dipindahkan daripada Penjara Kajang ke kediamannya di Taman Duta, hari ini, berkuat kuasa serta-merta bagi menjalani baki hukuman penjara melalui tahanan rumah bersabit kesalahan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd.

Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Aslam Zainuddin membatalkan perintah pelepasan atas pembayaran denda bertarikh 6 November lalu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Latest news