nurul.hidayah@hmetro.com.my
Rawang: Seorang remaja lelaki maut selepas motosikal ditungganginya hilang kawalan sebelum terbabas dalam kejadian di Jalan Desa Country Homes berhampiran Sekolah Kebangsaan Desa 1, di sini, semalam.
Ketua Polis Daerah Gombak Asisten Komisioner Zainal Mohamed Mohamed berkata, kemalangan membabitkan sebuah motosikal Honda EX5 itu berlaku jam 2.35 petang, semalam.
“Hasil siasatan awal dilakukan mendapati motosikal ditunggang remaja lelaki berusia 17 tahun berkenaan dalam perjalanan dari arah Bandar Puteri Height menghala ke Bandar Tasik Puteri.
“Sebaik tiba di lokasi kejadian, motosikal ditunggang mangsa dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas ke kiri jalan,” katanya dalam kenyataan, hari ini.
Zainal berkata, kemalangan itu menyebabkan mangsa parah di kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi kejadian oleh pembantu perubatan Hospital Sungai Buloh.
“Mayat mangsa kemudian dibawa ke Jabatan Forensik Hospital Sungai Buloh untuk proses bedah siasat.
“Kes itu disiasat mengikut Seksyen 41 (1) Akta Pengangkutan Jalan (APJ) 1987,” katanya.
Beliau berkata, orang ramai yang mempunyai maklumat mengenai kemalangan itu diminta menghubungi Pegawai Penyiasat Trafik, Inspektor Mohd Norazlan Noorudin
di talian 019-7974466.
“Orang ramai juga boleh menghubungi Bilik Gerakan Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Gombak di talian 03-61262222 untuk membantu siasatan,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd
