Cordoba: Wout van Aert memenangi perlumbaan pecut pada peringkat ke-15 Vuelta a Espana, semalam, dalam saingan yang dipendekkan akibat cuaca panas melampau di selatan Sepanyol.
Pendahulu keseluruhan, Enric Mas, mengekalkan kelebihan 2 minit 6 saat ke atas Felix Gall, manakala juara Vuelta empat kali, Primoz Roglic, ketinggalan empat saat lagi di belakang Gall.
Dengan suhu mencecah lebih 40 darjah Celsius, penganjur memendekkan laluan asal sejauh 189.7 kilometer dari Palma del Rio ke Cordoba kira-kira 80 kilometer.
Pelumba Belgium daripada pasukan Visma-Lease a Bike, Van Aert, mengambil kesempatan itu untuk meraih kemenangan peringkat keduanya dalam perlumbaan berkenaan.
Van Aert mengangkat kedua-dua tangannya selepas melintasi garisan penamat di depan Alessandro Romele dan Thibau Nys, yang melakukan serangan awal tetapi gagal menandingi kekuatan rakan senegaranya itu.
“Kami cuba mengejutkan kelompok utama, kami mengawal perlumbaan sepanjang hari dan kami masih berada di depan bersama beberapa pelumba lain yang membantu kami,” kata Van Aert.
Rakan sepasukan Van Aert, Matthew Brennan yang sudah memenangi tiga peringkat sebelum ini, tidak berpuas hati apabila terpaksa beraksi dalam suhu setinggi itu.
“Purata suhu ialah 41 darjah Celsius… ketika saya mendaki pada awal perlumbaan, suhunya mencecah 44 darjah. Pada ketika itu anda mula tertanya-tanya, ‘apa yang kita sedang lakukan?’
“Saya tidak akan terkejut jika ada beberapa pelumba yang terpaksa dihantar pulang dengan ambulans kerana strok haba,” kata pelumba Britain itu.
© New Straits Times Press (M) Bhd
