am@hmetro.com.my
Arau: Pasangan suami isteri yang disyaki terbabit mendera seorang wanita mualaf warga emas sehingga maut di sebuah kediaman di Taman Cempaka Putih, Tambun Tulang, di sini hari ini didakwa tidak mesra dan jarang bergaul dengan jirannya.
Jiran mangsa yang enggan dikenali berkata, pasangan suami isteri yang masing-masing berusia 34 tahun itu bukanlah orang tempatan di kawasan itu namun sudah menyewa kediaman berkenaan sejak setahun yang lalu.
“Saya difahamkan si suami berasal dari Johor dan isterinya pula berasal dari Terengganu dan mereka mempunyai tiga anak masih kecil selain seorang wanita warga emas dalam jagaan mereka yang saya rasakan berusia sekitar 70an.
“Saya tidak tahu sebenarnya apa pekerjaan sebenar menantu mangsa itu cuma apa yang kami di sini tahu adalah menantu mangsa dikhabarkan sedang menyambung pelajarannya dalam bidang falsafah di sebuah universiti tempatan di sini dan isterinya pula suri rumah sahaja.
“Tidak banyak sebenarnya yang kami penduduk di sini tahu mengenai pasangan suami isteri ini. Mereka jarang bergaul atau bercampur dengan masyarakat di sini, mereka lebih senang hal sendiri,” katanya ketika ditemui di kawasan perumahan berkenaan.
Katanya, dia terkejut apabila sekitar jam 10 pagi tadi, didatangi oleh anggota polis yang bertanyakan mengenai kejadian yang menimpa jirannya itu.
“Tidaklah pula kami dengar atau nampak ada berlaku pergelutan atau sebarang kejadian mencurigakan dalam rumah itu.
“Tapi kami tahu pasangan suami isteri ini menjaga orang tua. Malah, jikalau cuti juga, pasangan suami isteri ini senang berkurung dalam rumah mereka,” katanya.
Tinjauan rumah suspek dan mangsa yang terletak di Jalan Cempaka Putih 4 di taman perumahan berkenaan mendapati rumah suspek terkunci rapi selain terdapat sebuah kereta jenis Perodua Myvi diletakkan di halaman rumah teres satu tingkat itu.
Namun lilitan garisan polis masih lagi diletakkan di belakang rumah berkenaan untuk menghalang orang ramai daripada menceroboh rumah mangsa.
© New Straits Times Press (M) Bhd




