Ibu gagal bayar pinjaman punca kereta anak dirampas tengah jalan

Ibu gagal bayar pinjaman punca kereta anak dirampas tengah jalan

BUTTERWORTH – Kegagalan seorang wanita membayar pinjaman berjumlah RM100,000 menyebabkan kereta anaknya dirampas tiga lelaki dan dibawa lari di lampu isyarat Jalan Bagan Lalang di sini semalam.

Dalam kejadian 7.45 pagi itu, lelaki berkenaan dikatakan berhenti di lampu isyarat terbabit sebelum tiba-tiba didatangi tiga lelaki dan dua daripada mereka membawa lari kereta Perodua Axia yang dipandunya.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara, Mohd Asri Shafie berkata, bertindak atas laporan, pihaknya menahan tiga lelaki tempatan berusia lingkungan 27 hingga 49 tahun.

Jelas beliau, tangkapan dilakukan di sekitar Seberang Jaya, Butterworth dan Kuala Kangsar, Perak.

“Hasil siasatan mendapati ibu mangsa berusia 57 tahun telah membuat pinjaman RM100,000 dengan seorang lelaki pada 2020 dan bersetuju menyerahkan kereta milik anaknya sekiranya gagal membayar pinjaman tersebut.

“Memandangkan ibu mangsa gagal membayar pinjaman tersebut, lelaki terbabit mengupah tiga lelaki lain untuk merampas kereta itu seperti yang dipersetujui wanita berkenaan dalam satu perjanjian.

“Siasatan berhubung kes ini masih dijalankan dan kes disiasat mengikut Seksyen 395 Kanun Keseksaan,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Terdahulu tular satu rakaman video berdurasi satu minit menunjukkan tiga lelaki menarik keluar pemandu sebuah kereta sebelum melarikan kereta tersebut di persimpangan lampu isyarat. – MalaysiaGazette