am@hmetro.com.my
Kuala Selangor: “Firasat saya mengatakan anak sudah 50-50 walaupun beberapa kali CPR (resusitasi kardiopulmonari) dilakukan. Allah lebih menyayanginya,” kata Norramin Senin, 49.
Norramin adalah bapa kepada pelajar Tingkatan Tiga yang meninggal dunia selepas dipercayai terkena renjatan elektrik di Taman Pancaran, Bestari Jaya, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 10 malam itu, mangsa, Muhammad Anas Muazim, 15, dikatakan sedang berehat dalam permainan futsal.
Norramin berkata, sebelum kejadian anak ketiga dari empat beradik itu pulang ke rumah sekitar jam 8 malam.
“Arwah makan malam dan bersiap menunaikan solat Isyak di masjid. Selepas itu dia keluar untuk bermain futsal bersama rakan-rakannya di gelanggang yang tidak jauh dari rumah kami.
“Sekitar jam 10 malam, anak kedua dihubungi rakan arwah yang memberitahu arwah pengsan. Saya terus ke lokasi dan mendapati arwah didudukkan oleh kawan-kawannya.
“Melihat arwah tidak bermaya, saya meminta mereka membaringkan arwah selain menghubungi rakan untuk memanggil ambulans,” katanya ketika ditemui di kediamannya di Taman Seri Indah, Bestari Jaya, di sini hari ini.
Norramin yang bekerja sebagai pemandu lori berkata, dia sempat melakukan CPR ke atas arwah sebelum bergegas pulang untuk memberitahu isteri, Jamiatulhuda Ishak, 44, berhubung kejadian menimpa anak mereka.
“Saya berpatah balik ke lokasi dan mendapati petugas kesihatan membuat CPR tetapi malangnya arwah sudah tiada.
“Arwah tidak menunjukkan sebarang perubahan. Dia jalani rutin harian seperti biasa dan sempat membantu bapa saudaranya yang kebetulan mengadakan kenduri kahwin Sabtu lalu.
“Arwah anak yang periang, suka bergurau dengan adik-beradiknya selain mesra dengan masyarakat. Ke mana-mana dia pergi semua mengenalinya,” katanya.
Susulan itu, Norramin berkata, beliau mempertimbangkan untuk mengambil tindakan undang-undang terhadap pihak berwajib susulan kejadian terbabit.
“Lokasi itu ramai yang menggunakannya tidak kira umur, bangsa dan agama. Saya tidak mahu tuduh mana-mana pihak tetapi ini membabitkan kecuaian yang berakhir dengan kehilangan nyawa.
“Saya sekeluarga reda dengan ketentuan Allah. Cukuplah anak saya sahaja yang menjadi mangsa dan janganlah ada orang lain yang terbabit selepas ini,” katanya.
Terdahulu, jenazah Muhammad Anas Muazim dimandi dan dikafankan di Hospital Tanjong Karang sebelum dibawa ke Masjid Al-Awwabin, Bestari Jaya untuk disolatkan.
Jenazah selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Bestari Jaya kira-kira jam 3 petang tadi.
Sementara itu, Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Superintendan Azaharudin Tajudin berkata, siasatan mendapati mangsa memegang tiang lampu yang disyaki mempunyai arus elektrik hingga menyebabkannya rebah.
Beliau berkata, hasil pemeriksaan ke atas tubuh badan mangsa mendapati tiada sebarang unsur jenayah dan punca kematian adalah disebabkan ‘consistent with electrocution’.
Kes diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR).
© New Straits Times Press (M) Bhd
