mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Jadual padat dengan tiga perlawanan di tempat lawan secara berturut-turut menuntut Selangor FC (SFC) memberikan perhatian serius terhadap aspek pemulihan menjelang perlawanan pertama pusingan 16 terbaik Piala FA menentang Sabah FC di Stadium Likas, malam esok.
Ketua jurulatih SFC, Kim Pan-gon mengakui tempoh yang dilalui pasukannya bukan mudah, terutama apabila mereka perlu berdepan jadual padat dan terus beraksi di gelanggang lawan.
Menurutnya, keadaan itu memerlukan pasukan memberikan keutamaan kepada pemulihan pemain sebelum menentukan pendekatan terbaik untuk perlawanan penting menentang Sabah.
“Bagi kami, jadual yang sangat padat dengan tiga perlawanan di tempat lawan berturut-turut. Ia sangat, sangat sukar.
“Jadi kami akan fokus kepada pemulihan (recovery) dan kami cuba lihat apakah jenis perlawanan yang boleh kami rancang. Bagaimanapun, perlawanan esok sangat penting untuk kami,” katanya.
Pertembungan dengan Sabah FC pada 7.30 malam esok, hadir selepas SFC merekodkan kemenangan 3-0 ke atas Terengganu FC (TFC) pada 28 Ogos lalu, manakala Sabah pula menewaskan Penang FC 2-0 di Stadium Likas, pada tarikh sama.
Pada minggu sebelumnya, SFC menang 4-1 ketika berkunjung ke Stadium Sultan Muhammad IV bertemu Kelantan Red Warrior (KRW).
© New Straits Times Press (M) Bhd
