Ronaldo setia bersama Al-Nassr

Ronaldo setia bersama Al-Nassr

Ronaldo memilih untuk kekal di Arab Saudi. – Foto AFP

PEMAIN sensasi, Cristiano Ronaldo menamatkan spekulasi untuk kembali ke Eropah apabila mengesahkan akan kekal di Arab Saudi.

Kapten Portugal itu menyertai Al-Nassr selepas meninggalkan Manchester United pada Januari lalu, namun sejak kebelakangan ini tercetus khabar angin dia akan kembali bersama kelab Real Madrid.

Bagaimanapun dalam satu temu bual di Saudi, bintang itu menegaskan yang dia akan kekal di Timur Tengah.

“Saya gembira di sini. Saya mahu terus berada di sini dan akan terus di sini,” katanya.

Ronaldo juga optimis bahawa Liga Saudi akan terus berkembang dan mampu berada dalam kelompok lima teratas di dunia dalam tempoh lima tahun.

“Saya akan menjadi sebahagian ‘dunia’ dan budaya kamu. Saya juga berharap dapat membuat semua orang gembira menerusi permainan, prestasi dan menjuarai sesuatu.

“Apa pun terima kasih kerana menyambut baik kedatangan saya di sini dan saya akan cuba memberikan yang terbaik dalam tempoh berada di sini,” katanya.

Pemain berusia 38 tahun itu juga berkongsi perbezaan ‘regim’ latihan yang dilakukannya sejak berpindah ke Arab Saudi.

“Di Eropah kami berlatih lebih lama di waktu pagi tetapi di sini kami berlatih pada waktu petang dan pada Ramadan.

“Kami berlatih jam 10 malam – jadi, ia sesuatu yang janggal tetapi saya menganggapnya sebagai sebahagian daripada pengalaman dan memori,” katanya.

Ronaldo bagaimanapun gembira dengan rutin yang dilaluinya itu yang disifatkan sebagai pengalaman terindah.

“Saya suka detik sebegini kerana kamu belajar sesuatu daripadanya. Sukar tetapi ia sesuatu yang belum pernah saya alami.

“Pengalaman saya setakat ini adalah penyokong Saudi sangat meminati bola sepak dan ia sesuatu yang bagus dan saya sangat gembira sehingga sekarang,” katanya.

Ronaldo sudah menghasilkan 14 gol daripada 16 perlawanan sejak menyertai Al-Nassr dan membantu kelab menamatkan kempen di tangga kedua Liga Profesional Saudi di belakang Al-Ittihad.

Scroll to Top