Abdul Azeez gagal batal 13 pertuduhan

Abdul Azeez gagal batal 13 pertuduhan

farahmarshita@bh.com.my

KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi di sini, hari ini, menolak permohonan bekas Pengerusi Tabung Haji, Datuk Seri Abdul Azeez Abdul Rahim bagi membatalkan 13 tuduhan menerima rasuah dan pengubahan wang haram yang dihadapinya.

Sehubungan itu, perbicaraan kes berkenaan yang didengar di hadapan Hakim Mahkamah Sesyen, Azura Alwi akan disambung Isnin ini.

Terdahulu, Hakim Datuk Muhammad Jamil Hussin membuat keputusan itu selepas mendapati pertuduhan yang dikenakan terhadap Abdul Azeez adalah tidak cacat dan berlandaskan peruntukan undang-undang.

Muhammad Jamil dalam penghakimannya, berkata mahkamah juga mendapati alasan permohonan Abdul Azeez adalah tidak bermerit.

“Tertuduh juga gagal menunjukkan pendakwaan terhadapnya adalah bersifat mala fide (berniat jahat).

“Mahkamah juga mendapati pada peringkat ini adalah terlalu awal untuk mahkamah menentukan sama ada pertuduhan itu adalah tidak berasas,” katanya.

Muhammad Jamil, berkata pertuduhan mengikut Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) yang dihadapi Abdul Azeez adalah tidak cacat walaupun empat projek berasingan digabungkan dalam satu pertuduhan kerana suapan yang diterima adalah membabitkan kesemua projek berkenaan.

Sementara itu, peguam Amer Hamzah Arshad yang mewakili Abdul Azeez menerima arahan daripada anak guamnya untuk memfailkan notis rayuan terhadap keputusan itu.

Pada 18 Disember tahun lalu, peguam Hisyam Teh Poh Teik yang turut mewakili Abdul Azeez memberitahu Mahkamah Sesyen di sini bahawa anak guamnya sudah memfailkan permohonan di Mahkamah Tinggi untuk membatalkan 12 pertuduhan yang dihadapinya.

Ketika itu, Hisyam memohon supaya perbicaraan yang didengar di Mahkamah Sesyen ditangguhkan bagi membolehkan Mahkamah Tinggi mendengar permohonan itu terlebih dahulu.

Bagaimanapun, mahkamah mengarahkan perbicaraan diteruskan kerana tiada sebarang perintah daripada mahkamah lain untuk menggantung prosiding itu.

Abdul Azeez, 54, yang juga Ahli Parlimen Baling, Kedah, menghadapi tiga tuduhan menerima rasuah berjumlah RM5.2 juta berkaitan projek jalan raya di Perak dan Kedah serta 10 pertuduhan pengubahan wang haram mencecah jutaan ringgit.

Pendakwaan terhadapnya dibuat mengikut Seksyen 28(1)(c) Akta SPRM 2009 dan dibaca bersama Seksyen 16(a)(A) dan Seksyen 24(1) akta sama yang memperuntukkan hukuman penjara maksimum 20 tahun dan denda.

Abangnya, Abdul Latif, dituduh bersubahat dengan Abdul Azeez yang didakwa menerima RM4 juta daripada Mohammad Redzuan sebagai upah membantu syarikat Menuju Asas Sdn Bhd mendapatkan projek jalan raya secara tender terhad daripada Kementerian Kerja Raya.

Bagaimanapun, pada 8 Februari lalu, Abdul Latif dilepas tanpa dibebaskan daripada dua pertuduhan bersubahat dengan menjadikannya saksi pendakwaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top