London: Juara dunia Peres Jepchirchir mengesahkan dia menarik diri daripada Maraton London bulan ini.
Juara Olimpik Tokyo 2020 itu didiagnosis mengalami kecederaan yang tidak dinyatakan secara terperinci selepas menamatkan perlumbaan di tempat kedua di Maraton Valencia pada Disember.
Keadaan itu melambatkan permulaan latihannya untuk London, dan pelari Kenya berusia 32 tahun itu kini memaklumkan penganjur bahawa beliau terpaksa menarik diri.
Ia kali kedua berturut-turut beliau terlepas Maraton London, selepas turut tidak menyertai edisi tahun lalu akibat kecederaan buku lali.
Peres memenangi Maraton London 2024 dengan catatan rekod dunia kategori wanita iaitu 2 jam 16 minit 16 saat.
“Saya hanya dapat kembali berlatih pada akhir Januari,” katanya dalam satu kenyataan, semalam.
“Saya tahu untuk bersaing di Maraton London anda perlu berada pada tahap terbaik, dan walaupun saya telah berusaha sedaya upaya, saya masih belum mencapai tahap itu kerana kekurangan latihan.”
Juara Olimpik 2024, Sifan Hassan juga menarik diri daripada perlumbaan tahun ini pada 26 April selepas mengalami kecederaan achilles.
Penarikan diri saat akhir ini membuka peluang kepada pelari wanita elit lain, dengan perebutan podium kini semakin terbuka luas.
Tigst Assefa kembali ke London dengan misi mempertahankan gelaran, dan bakal menghadapi cabaran hebat daripada pemenang dua kali Hellen Obiri yang pernah menjuarai Maraton Boston dan New York City.
Antara pencabar lain termasuk juara Maraton London 2021, Joyciline Jepkosgei serta Julia Paternain dari Uruguay yang merupakan pemenang pingat Kejohanan Dunia pertama dari negaranya.
© New Straits Times Press (M) Bhd



