New Jersey: Jurulatih Senegal, Pape Thiaw menegaskan pasukannya mempunyai perancangan untuk mengekang Erling Haaland, namun menegaskan ancaman Norway tidak hanya bergantung kepada penyerang berbisa itu menjelang aksi Kumpulan I Piala Dunia, awal pagi esok.
Selepas tewas 1-3 kepada pilihan utama kumpulan, Perancis, dalam aksi pembukaan, Thiaw sedar satu lagi kekalahan akan menyukarkan laluan Senegal ke pusingan 32 terbaik walaupun masih berbaki perlawanan menentang Iraq.
Norway pula hadir dengan keyakinan tinggi selepas membelasah Iraq 4-1, dengan Haaland meledak dua gol.
Bagaimanapun, Thiaw menegaskan kesilapan besar jika pasukannya hanya memberi tumpuan kepada pemain Manchester City itu.
“Ia bukan pelan anti-Haaland, tetapi pelan anti-Norway. Kami mempunyai pemain pertahanan yang berpengalaman berdepan penyerang bertaraf tinggi seperti ini.
“Apabila berdepan Haaland, kami perlu sentiasa berwaspada. Tetapi yang paling penting adalah bagaimana kami menghentikan keseluruhan pasukan Norway,” katanya.
Menurut Thiaw, Senegal sudah menjangka cabaran sukar yang menanti sebelum kejohanan bermula dan kekalahan kepada Perancis tidak menamatkan impian mereka.
“Kami berada dalam kumpulan yang sukar dan kami sudah mengetahuinya. Semua tiga perlawanan ibarat final. Kami kalah dalam perlawanan pertama, tetapi masih banyak yang perlu diperjuangkan.
“Kami tidak boleh melakukan kesilapan ketika menentang Norway. Semua pemain bersedia dan mahu berjuang habis-habisan.
“Kami bersedia mati demi Afrika dan Senegal,” katanya.
Senegal juga berdepan rekod kurang memberangsangkan apabila gagal mencatatkan sebarang aksi tanpa bolos dalam 12 perlawanan terakhir Piala Dunia sejak mengejutkan Perancis pada penampilan sulung mereka pada 2002.
“Memang benar kami bolos banyak gol. Kini sudah tiada ruang untuk melakukan kesilapan lagi,” katanya.
Dalam masa sama, Thiaw mengesahkan kemelut kontraknya dengan Persekutuan Bola Sepak Senegal sudah diselesaikan.
“Masalah itu sudah selesai. Ia mengambil masa yang agak lama dan ia bukan berkaitan wang, tetapi soal prinsip serta rasa hormat,” katanya.
Beliau turut menepis dakwaan berhubung rasa tidak puas hati pemain terhadap kem latihan pasukan di New Brunswick.
“Memang ada beberapa perkara kecil yang perlu diperbaiki, tetapi sama ada pemain, barisan kejurulatihan atau persekutuan, kami semua hanya fokus kepada perlawanan esok,” katanya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




