Atlanta: Pengendali Arab Saudi, Georgios Donis mengakui taktikal bertahan yang dirancang gagal berfungsi selepas pasukannya dibelasah Sepanyol 0-4 dalam aksi Kumpulan H Piala Dunia 2026, hari ini.
Menurut Donis, pasukannya cuba membentuk benteng pertahanan yang kukuh dengan menggunakan tiga pertahanan tengah dan lima pemain di barisan belakang, namun gagal mengekang asakan pantas juara Eropah itu.
“Kami memilih untuk bermain dengan tiga pertahanan tengah dan membentuk blok rendah bagi bertahan sebaik mungkin.
“Namun kami sepatutnya lebih agresif dan lebih kuat menghalang pergerakan bola. Tiada satu faktor khusus yang menyebabkan kami gagal, tetapi kami tidak cukup ampuh di kawasan sekitar kotak penalti,” katanya.
Arab Saudi dikejutkan dengan gol awal Lamine Yamal pada minit ke-10 sebelum Mikel Oyarzabal meledak dua gol dalam tempoh tiga minit untuk meletakkan Sepanyol mendahului 3-0 sebelum tamat separuh jam pertama.
Donis mengakui jaringan awal itu menjejaskan keyakinan pemainnya sehingga menyebabkan banyak kesilapan dilakukan.
“Sepanyol menjaringkan gol awal dengan permainan yang sangat pantas dan ia menjejaskan moral pasukan.
“Selepas itu kami melakukan banyak kesilapan ketika menguasai bola. Apabila anda bolos tiga gol dalam tempoh singkat, keyakinan akan terjejas dan itu perkara biasa dalam bola sepak,” katanya.
Walaupun kecewa dengan keputusan berkenaan, Donis tetap mempertahankan pendekatan taktikal yang digunakan dan enggan menyalahkan pemainnya.
“Kami tewas kepada antara pasukan terbaik di Piala Dunia dan keputusan ini sukar diterima.
“Namun saya tetap bangga dengan pemain-pemain saya dan apa yang mereka lakukan setiap hari. Saya tidak akan hilang rasa bangga terhadap mereka hanya kerana satu keputusan yang buruk.
“Kami sedar akan menerima kritikan, tetapi saya juga berharap kritikan itu dibuat secara realistik,” katanya.
Arab Saudi kini hanya mengumpul satu mata daripada dua perlawanan dan perlu menewaskan Cape Verde dalam aksi terakhir kumpulan di Houston bagi menghidupkan peluang ke pusingan kalah mati.
© New Straits Times Press (M) Bhd




