redzuan.muharam@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pencipta kandungan digital VFX atau kesan visual, Mohamad Sofian Abdullah dikenali Sofyank akan tampil dengan video silap mata terbaru yang menyaksikan kerjasamanya dengan Anthony Ramos, pelakon utama filem, Transformers: Rise of the Beast.
Sofyank, 27, berkongsi perkembangan buah tangan terbarunya itu menerusi hantaran di Facebook (FB) miliknya.
Menurut Sofyank, penggambaran itu sudah dibuat di Singapura dan akan berkongsi hasil video berkenaan kepada semua tidak lama lagi.
“Alhamdulillah hari ini (semalam) saya nak kongsi berita gembira. Masih ingat tak 15 hari lepas saya ke Singapura dan beg saya hilang di lapangan terbang?
“Alhamdulillah beg saya sudah dikembalikan semula oleh seorang insan yang namanya dirahsiakan.
“Panjang cerita kalau nak cerita kat sini, Insya-Allah nanti saya cerita semula pasal kehilangan beg di Singapura dan macam mana boleh terjumpa balik.
“Tujuan saya ke Singapura hari itu adalah untuk ‘shoot’ (rakam) satu video ‘magic’ (silap mata) bersama dengan Anthony.
“Kali ini kami buat video magic dan Anthony sempat cakap Melayu tau.Video itu sudah hampir siap, nantikan tau!,” katanya.
Perkongsian Sofyank mendapat reaksi positif dengan rata-ratanya menzahirkan ucapan tahniah kepada pemuda kelahiran Kelantan berkenaan.
“Makin banyak job dari Hollywood mengintai. Tahniah buat Sofyank,” komen Mohammad Khairil Nizam Mokhtar di FB.
“Alhamdulillah tahniah Sofyank…bangga ore kelate (orang Kelantan) boleh pergi antarabangsa,” tulis seorang lagi pengguna FB, Nurul Shuhada Ismail.
Sofyank mula mendapat perhatian selepas menerima jemputan untuk bertemu idolanya, pereka kandungan digital terkenal dunia Zach King di Jakarta, Indonesia pada 2019.
Sejak itu, Sofyank semakin dikenali dan sering mendapat pujian setiap kali berkongsi hasil kreativitinya.
© New Straits Times Press (M) Bhd




