Empat beradik selamat, Wilson pula hilang

Empat beradik selamat, Wilson pula hilang

Bogota: Wilson iaitu anjing pengesan berusia enam tahun yang hilang semasa operasi pencarian empat beradik selama berminggu-minggu di hutan Amazon di Colombia, kini menjadi sasaran misi menyelamat.

Puluhan askar dikerahkan masuk ke hutan untuk mencari wira anjing yang hilang sejak dua minggu lalu itu, ketika ‘ditugaskan’ dalam pencarian berkenaan.

Tentera berikrar untuk tidak meninggalkan haiwan itu yang mungkin sudah menemui kanak-kanak itu sebelum pasukan penyelamat tiba.

Kepulangan Wilson juga dinanti penduduk Colombia yang menzahirkan solidariti di laman sosial dengan tanda pagar #Let’sGoForWilson, #OneIsMissing dan #WilsonNationalHero

Warga Colombia juga meletakkan poster di tingkap mereka tertera perkataan ‘Missing Wilson’.

“Pencarian belum berakhir,” tegas tentera dalam satu kenyataan yang dikeluarkan selepas kanak-kanak itu dikesan Jumaat lalu (9 Jun), sambil menambah lebih 70 askar kekal dikerahkan di dalam hutan tebal untuk mencari Wilson.

Mereka termasuk pengendali Wilson, Cristian David Lara.

Terdahulu, empat kanak-kanak yang hilang di hutan selepas nahas pesawat di Colombia, ditemukan selamat selepas 40 hari dilaporkan hilang.

Wilson sebelum ini menemui botol bayi Cristin yang dibuang dalam kawasan semak tebal, kira-kira empat kilometer (km) dari bangkai pesawat.

Ia beberapa hari selepas nahas pesawat kecil 1 Mei yang meragut nyawa tiga orang dewasa di dalamnya, termasuk ibu kepada empat beradik itu.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top