Nagpur, India: Seorang lelaki nekad melempar serbuk cili ke arah kakitangan bank sebelum melarikan wang tunai 4.53 lakh rupee India (kira-kira RM19,000) dalam kejadian di Bhande Plot, di sini.
Memetik laporan The Times of India, kejadian yang berlaku kira-kira jam 5.30 petang itu dirakam kamera litar tertutup (CCTV) dan kini tular di media sosial.
Ketika kejadian, pegawai dan pekerja bank mengeluarkan wang tunai dari mesin juruwang automatik (ATM) sebelum memasuki cawangan berkenaan.
Suspek menghampiri mereka dari arah belakang sebelum melemparkan serbuk cili ke arah kakitangan terbabit lalu merampas wang tunai dan melarikan diri.
Serangan mengejut itu menyebabkan suasana panik dalam kalangan pekerja bank yang menjerit meminta bantuan sebelum mengejar suspek.
Anggota peronda yang sedang bertugas bersama pasukan Pengesanan Jenayah (DB) menyedari kekecohan itu sebelum mengejar suspek.
Polis berjaya menahan lelaki berusia 28 tahun itu pada Khamis dan merampas semula wang tunai yang dilarikan.
Suspek dikenali sebagai Suraj Borkar, penduduk Tatoli di Bhivapur, daerah Nagpur.
Rakaman CCTV turut memaparkan suspek memakai kurta dan menutup muka dengan kain putih sebelum melemparkan serbuk cili ke arah kakitangan bank dan kemudian melarikan wang tunai berkenaan.
© New Straits Times Press (M) Bhd

