New York: Pengurus bilik mayat di Sekolah Perubatan Universiti Harvard yang berprestij di Amerika Syarikat (AS) didakwa mengambil jasad dan organ tanpa kebenaran dan kemudian menjualnya, kata pendakwa raya AS, semalam.
Cedric Lodge, 55, didakwa memperdagangkan mayat manusia yang dicuri, kata peguam AS untuk Daerah Tengah Pennsylvania dalam satu kenyataan.
Lodge bersama isteri, Denise Lodge, 63, dan lima lagi individu didakwa bersubahat dalam rangkaian belian dan jualan mayat manusia.
Menurut Pendakwa Raya, perbuatan itu dilakukan sejak 2018 hingga 2022 dengan mencuri organ dan bahagian lain mayat yang didermakan untuk penyelidikan dan pendidikan perubatan, sebelum proses pembakaran.
Lodge didakwa membawa mayat dari lokasi di Universiti Harvard di Boston ke rumahnya di Goffstown, New Hampshire, yang mana dia dan isterinya menjual mayat itu kepada dua tertuduh lain, Katrina Maclean dan Joshua Taylor.
“Ada kalanya, Lodge membenarkan Maclean dan Taylor memasuki bilik mayat dan memeriksa (mayat) untuk memilih apa yang hendak dibeli,” kata pejabat peguam.
Pendakwa raya berkata, Maclean, 44, dari Salem, Massachusetts, dan Taylor, 46, dari West Lawn, Pennsylvania, kemudian menjual semula mayat berkenaan untuk keuntungan.
Lodge menguruskan bilik mayat untuk program derma anatomi Harvard.
Dia dipecat daripada jawatannya pada 6 Mei, kata sekolah itu dalam satu kenyataan.
“Kami terkejut apabila mengetahui bahawa sesuatu yang sangat mengganggu boleh berlaku di kampus kami,” kata Dekan Fakulti Perubatan Universiti Harvard, George Daley dan Dekan Pendidikan Perubatan, Edward Hundert dalam satu kenyataan bersama.
© New Straits Times Press (M) Bhd




