Yakeb prihatin derita Kamiley

Yakeb prihatin derita Kamiley

Kuala Lumpur: Yayasan Kebajikan Atlet Kebangsaan (Yakeb) berusaha keras untuk membantu Kamiley Ngah mengumpul dana secukupnya bagi menampung kos rawatan kedua bekas pemain bola baling negara itu di Hospital Kuala Lumpur, 24 Mac ini.

Menurut Pengerusi Yakeb, Datuk Noorul Ariffin Abdul Majeed, mereka akan terus membantu Kamiley walaupun ada bantuan daripada luar dan turut berterima kasih kepada Persekutuan Bola Baling Malaysia (MAHF) yang turut menghulurkan sumbangan kewangan.

“Hari ini, kami memberikan wang untuk membantu kos perjalanannya (ke hospital) dan dari sudut peralatan itu, kita akan lihat kemudian dan kita akan membantunya. Bantuan ini sehingga ke peringkat maksimum dan sekiranya perlu mendapatkan bantuan luar, kami akan turut mendapatkannya juga,” kata Noorul Ariffin.

Sementara itu, Kamiley yang juga bapa kepada tiga anak mengucapkan terima kasih kepada Yakeb dan bantuan yang disumbangkan oleh MAHF.

“Terima kasih kepada Yakeb dan pihak persatuan kerana sudi menziarahi dan membantu saya untuk meneruskan rawatan ini,” kata Kamiley yang pada mulanya dikesan menghidap kanser usus sebelum merebak ke bahagian paru-paru, tulang dan ‘lymph nodes’ itu.

Kamiley berkata, dia mula sakit pada bulan Oktober 2010 dan sudah menjalalani 17 kali rawatan kimoterapi secara keseluruhannya.

“Saya juga menjalani pembedahan membuang usus dan pundi kencing secara kekal dan perlu menggunakan beg urin sehingga akhir hayat. Untuk sekali rawatan kimoterapi adalah RM6,800. Jadi jumlah keseluruhan selepas ini dalam RM40,800 untuk perubatan saja,” katanya yang berusia 43 tahun.

Kamiley antara pemain yang membantu skuad bola baling negara meraih pingat gangsa di Sukan Sea Hanoi 2003 dan Korat 2007.

Scroll to Top