mohdsyazwan@hmetro.com.my
Kuala Lumpur: Pelumba Moto3 negara, Hakim Danish Ramli terus membuktikan dirinya antara pencabar utama dalam saingan Kejuaraan Motosikal Dunia musim ini apabila meraih petak kedua bagi perlumbaan Grand Prix (GP) Czech di Litar Brno, esok.
Pelumba pasukan AEON Credit-MT Helmets-MSi itu hanya dipisahkan 0.017 saat daripada petak utama selepas mencatat masa 2 minit 04.086 saat (s) pada sesi Kelayakan 2 (Q2), hari ini.
Petak utama menjadi milik pelumba Sepanyol, David Almansa yang merekodkan masa terpantas 2:04.069s, manakala rakan senegaranya, Maximo Quiles melengkapkan barisan hadapan selepas mencatat 2:04.490s.
Keputusan itu meneruskan hujung minggu cemerlang Hakim Danish di Brno selepas pelumba berusia 19 tahun itu terlebih dahulu mencuri tumpuan menerusi aksi luar biasa pada sesi latihan bebas, semalam.
Malah, dia mencipta sejarah tersendiri apabila memecahkan rekod terpantas sepanjang zaman Moto3 di litar berkenaan dengan catatan 2:04.938s.
Catatan itu bukan sahaja meletakkannya sebagai pelumba terpantas sesi berkenaan, malah memadam rekod lama milik pelumba Itali, Guido Pini yang merekodkan masa 2:05.019s tahun lalu.
Prestasi konsisten yang dipamerkan sepanjang minggu ini memberi petanda positif bahawa Danish memiliki keupayaan untuk sekali lagi mencabar kelompok hadapan apabila perlumbaan sebenar berlangsung esok.
Bermula dari barisan hadapan juga memberi kelebihan besar buat pelumba negara itu untuk mengelak kesesakan awal perlumbaan selain memudahkannya mengatur strategi memburu keputusan terbaik.
Setakat ini, pencapaian terbaik Danish dalam saingan Moto3 adalah ketika menamatkan perlumbaan di tempat ketiga pada GP Itali bulan lalu yang turut menyaksikannya menghadiahkan podium sulung buat Malaysia di pentas dunia musim ini.
Dengan momentum yang dimiliki ketika ini, peluang untuk menyaksikan Jalur Gemilang sekali lagi berkibar di pentas Moto3 tampak semakin cerah di Brno.
© New Straits Times Press (M) Bhd




