Rakyat Myanmar di AS ditawar perlindungan sementara

Rakyat Myanmar di AS ditawar perlindungan sementara

WASHINGTON: Kerajaan Amerika Syarikat (AS) semalam berkata bahawa, warganegara Myanmar yang terkandas akibat keganasan berikutan rampasan kuasa tentera negara itu boleh kekal berada di AS di bawah ‘status dilindungi sementara’.

“Disebabkan rampasan kuasa tentera dan keganasan pasukan keselamatan terhadap orang awam, rakyat Burma (Myanmar) mengalami krisis kemanusiaan yang kompleks dan semakin teruk di banyak tempat di negara itu,” kata Setiausaha Jabatan Keselamatan Dalam Negeri (DHS), Alejandro Mayorkas.

“Selepas meneliti keadaan yang mengerikan ini, saya telah menetapkan Burma sebagai status perlindungan sementara (TPS) supaya warganegaranya dan penduduk biasa dapat tinggal sementara di AS.”

AS telah memberikan perlindungan TPS kepada warga negara dari sejumlah negara yang dilanda pergolakan politik atau bencana alam, disebabkan kesukaran untuk mereka pulang ke negara asal.

Perlindungan biasanya ditetapkan untuk jangka waktu terbatas, seperti 12 bulan, tetapi boleh dilanjutkan jika kesusahan atau ancaman tetap ada.

DHS berkata, rampasan kuasa tentera Myanmar pada 1 Februari telah menyebabkan krisis ekonomi dan kekurangan bantuan kemanusiaan dan perubatan.

Di samping itu, orang yang memprotes kudeta itu menghadapi penahanan sewenang-wenang, ugutan dan keganasan yang keras daripada tentera.

“Keadaan seperti itu menghalang warga Burma dan penduduk biasa pulang dengan selamat,” kata jabatan itu dalam satu kenyataan.

Tempoh awal TPS adalah selama 18 bulan.

DHS tidak menyatakan berapa ramai orang yang akan dilindungi.

Awal minggu ini pemerintahan Presiden Joe Biden menawarkan TPS untuk puluhan ribu rakyat Venezuela yang melarikan diri dari penindasan politik dan kekacauan ekonomi di negara Amerika Selatan yang dulu kaya raya. – AFP

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top