Nadal, Moya hadir beri sokongan kepada Lopez

Nadal, Moya hadir beri sokongan kepada Lopez

Santa Ponsa: Pemain tenis veteran Sepanyol, Feliciano Lopez melanjutkan kariernya sekurang-kurangnya untuk satu hari lagi dengan mencatat kemenangan penuh emosi di Terbuka Mallorca iaitu kejohanan terakhirnya selepas mengabadikan diri dalam sukan itu selama 26 tahun.

Pemain kidal berusia 41 tahun itu mendapat sokongan moral daripada rakan senegara yang juara Grand Slam 22 kali, Rafael Nadal ketika kemenangan 6-3, 7-5 ke atas Max Purcell.

Lopez, yang mencapai kedudukan tertinggi di tangga ke-12 dunia dan memegang rekod muncul sebanyak 79 kali berturut-turut di undian utama Grand Slam, akan menentang pemain Australia Jordan Thompson hari ini.

“Ia adalah kemenangan yang sangat istimewa bagi saya, sejujurnya mungkin salah satu kemenangan paling istimewa dalam karier saya setakat ini,” kata Lopez, yang mencatat lebih 500 kemenangan perseorangan ATP.

“Ini melebihi jangkaan saya, untuk memenangi perlawanan pada hujung karier di Mallorca, tempat yang indah dan dikelilingi oleh rakan-rakan yang saya sayangi.”

Nadal, yang kini tidak beraksi ketika dia cuba pulih daripada kecederaan, turut disertai Carlos Moya di tempat duduk penonton bagi menceriakan bekas rakan senegara Piala Davis mereka.

“Kebanyakan daripada mereka datang untuk perlawanan terakhir saya. Nasib baik, ia bukan perlawanan terakhir dalam hidup saya. Saya mempunyai satu lagi peluang esok (hari ini), dan ini sangat menggembirakan,” tambah Lopez.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top