JDT 'kuliahkan' UiTM FC di Shah Alam

JDT 'kuliahkan' UiTM FC di Shah Alam

syafiq.aznan@bh.com.my

SHAH ALAM: Pendahulu Liga Super, Johor Darul Ta’zim (JDT) tidak memandang ke belakang apabila terus meraih kemenangan ketiga berturut-turut dengan menewaskan UiTM FC 4-0 di sini, sebentar tadi.

Ini menyaksikan skuad Harimau Selatan itu berjaya mengutip sembilan mata maksimum daripada tiga perlawanan sekali gus membuktikan kewibawaan mereka selaku juara bertahan.

Malang buat UiTM FC, ini adalah kekalahan ketiga berturut-turut mereka selepas kecundang di tangan Terengganu FC (TFC) dan KL City FC sebelum ini.

Pada aksi di Stadium UiTM Shah Alam itu, bibit kemenangan buat pelawat sudah mula dapat dijangka selepas mereka mudah mendahului seawal minit ke-11 menerusi pemain gantian, Arif Aiman Hanapi.

Belum sempat UiTM FC kembali dari kejutan gol awal dan menyusun perancangan, mereka terus ‘dibadai’ dengan gol kedua lima minit berselang dan kali ini, penyudah Gonzalo Cabrera meletakkan JDT selesa 2-0.

Bersambung babak kedua, JDT terus memburu gol tambahan dan hasilnya, penyerang baharu mereka, Bergson da Silva mencetak gol pada penampilan sulungnya ketika saingan berbaki 10 minit sebelum Syamer Kutty Abba menjadikan kedudukan 4-0 di penghujung permainan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top