Houston: Cody Gakpo dan Brian Brobbey masing-masing meledak dua gol ketika Belanda membelasah Sweden 5-1 dalam aksi Piala Dunia, hari ini, sekali gus semakin hampir mengesahkan tempat ke pusingan kalah mati.
Kemenangan di depan hampir 69,000 penyokong itu menyuntik semangat skuad kendalian Ronald Koeman selepas sekadar seri 2-2 dengan Jepun pada perlawanan pembukaan.
Belanda kini mendahului Kumpulan F dengan empat mata daripada dua perlawanan, diikuti Sweden dengan tiga mata, Jepun satu mata dan Tunisia yang masih belum mengutip sebarang mata.
Walaupun tewas besar, Sweden tetap mencipta beberapa peluang, namun dihalang aksi cemerlang penjaga gol Belanda serta kegagalan memanfaatkan peluang yang terhidang.
Brobbey yang diberi penampilan pertama dalam kejohanan ini membalas kepercayaan Koeman dengan dua gol pada minit kelima dan ke-17.
Sebelum itu, penyerang Sunderland berusia 24 tahun itu hanya menjaringkan satu gol buat Belanda sejak melakukan penampilan sulung tiga tahun lalu.
Dalam aksi yang dibarisi ramai bintang Liga Perdana Inggeris, Gakpo yang mencipta bantuan gol pertama buat Brobbey turut meledak dua gol pada awal babak kedua.
Anthony Elanga yang masuk sebagai pemain gantian menjaringkan gol tunggal Sweden sebelum sejam permainan, namun Crysencio Summerville melengkapkan kemenangan bergaya Belanda menerusi jaringan kelima.
Dua kru misi bersejarah Artemis II turut hadir sebagai tetamu kehormat, sebagai penghormatan kepada Houston yang terkenal sebagai pusat penerokaan angkasa lepas.
Belanda yang dua kali diikat Jepun dalam keputusan seri 2-2 pada aksi pertama memulakan perlawanan dengan lebih baik di depan penyokong berbaju oren dan Raja Willem-Alexander.
Brobbey yang menggantikan Summerville dalam kesebelasan utama membuka tirai jaringan selepas menerima hantaran rendah Gakpo hasil gerakan yang turut membabitkan Bart Verbruggen dan Tijjani Reijnders.
Sweden yang membelasah Tunisia 5-1 dalam aksi pertama gagal mengekang kekuatan fizikal Brobbey, manakala gandingan Alexander Isak dan Viktor Gyokeres pula sukar memperoleh peluang berkualiti.
Brobbey menggandakan kelebihan Belanda pada minit ke-17 apabila menyambar hantaran lintang Denzel Dumfries yang terkena pemain lawan sebelum menewaskan Kristoffer Nordfeldt.
Pengendali Sweden, Graham Potter dilihat rancak berbincang dengan barisan kejurulatihannya ketika pasukannya mula hilang rentak.
Sweden memiliki peluang terbaik menerusi Yasin Ayari yang gagal mengawal hantaran lintang Gyokeres dengan kemas, sebelum Gyokeres sendiri mensia-siakan peluang selepas menerima umpanan daripada Isak.
Gyokeres dan Ayari kemudian beberapa kali menguji kubu Belanda, namun Verbruggen tampil cemerlang untuk memastikan gawangnya tidak dibolosi.
Koeman memasukkan Summerville menggantikan Donyell Malen pada waktu rehat dan dua minit selepas itu, Gakpo menjadikan kedudukan 3-0 selepas menyudahkan satu lagi hantaran rendah berbahaya Dumfries.
Gakpo menambah gol keempat pada minit ke-54 apabila bijak memperdaya pertahanan sebelum merembat rendah ke penjuru bawah gawang.
Elanga kemudian merapatkan jurang buat Sweden lima minit kemudian apabila melepasi benteng Belanda sebelum menewaskan Verbruggen.
Bagaimanapun, Summerville memastikan kemenangan besar Belanda apabila menjaringkan gol kelima pada penghujung perlawanan, iaitu gol keduanya di bumi Amerika Utara.
Sweden akan menentang Jepun dalam aksi berikutnya, manakala Belanda dijadual berdepan Tunisia.
© New Straits Times Press (M) Bhd



