Dua rakyat Malaysia berjaya dikesan, 55 masih belum dapat dihubungi di Nepal

PUTRAJAYA – Dua daripada 57 rakyat Malaysia yang sebelum ini dilaporkan gagal dihubungi susulan banjir kilat dan tanah runtuh di Nepal telah berjaya dikesan manakala 55 lagi masih belum dapat dihubungi setakat 2.22 petang tadi.

Timbalan Ketua Setiausaha (Hubungan Dua Hala) Kementerian Luar Datuk Syed Mohamad Hasrin Tengku Hussin berkata kedua-dua rakyat Malaysia berkenaan telah berjaya dikesan namun maklumat dan butiran mereka masih dalam proses semakan silang serta pengesahan lanjut.

“Daripada angka 57 itu, dua orang telah dilaporkan selamat setakat ini,” katanya kepada Bernama di sini.

Beliau berkata proses semakan silang itu penting bagi memastikan identiti, lokasi dan status sebenar kedua-dua individu selain mengelakkan pertindihan maklumat dalam senarai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Syed Mohamad Hasrin berkata angka 55 itu masih tertakluk kepada pengesahan lanjut berdasarkan maklumat yang diterima daripada pihak berkuasa Nepal dan agensi berkaitan.

Beliau berkata Menteri Luar Datuk Seri Mohamad Hasan telah mengarahkan kementerian supaya terus memantau rapat perkembangan operasi dan memperkukuh usaha mengesan rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Atas arahan itu juga katanya, seorang pegawai Suruhanjaya Tinggi Malaysia di Dhaka telah dihantar ke Kathmandu bagi membantu memperkukuh operasi Kedutaan Besar Malaysia di Nepal.

“Pegawai berkenaan membantu menyelaras maklumat, memantau perkembangan dan berurusan dengan pihak berkuasa Nepal yang berkaitan,” katanya.

Syed Mohamad Hasrin berkata Kedutaan Besar Malaysia di Kathmandu turut bekerjasama dengan pihak berkuasa Nepal, pasukan tindak balas kecemasan Kementerian Luar Negeri Nepal, Lembaga Pelancongan Nepal, agensi berkaitan dan pengendali pelancongan bagi mendapatkan serta mengesahkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi.

Pihak berkuasa Nepal melaporkan sejumlah 528 individu telah diselamatkan setakat ini yang terdiri daripada 490 warga Nepal serta 38 warga asing dan berdasarkan maklumat terkini, belum ada warganegara Malaysia dikenal pasti dalam kalangan individu yang diselamatkan.

Banjir kilat dan tanah runtuh di daerah Rasua berlaku susulan limpahan Sungai Bote Koshi pada 26 Ogos lepas mengakibatkan kerosakan teruk terhadap infrastruktur termasuk jalan raya dan jambatan selain gangguan bekalan elektrik serta rangkaian komunikasi.

“Keadaan itu menyukarkan akses ke kawasan terjejas sekali gus menjejaskan usaha mencari dan menyelamat serta mendapatkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang berada di kawasan berkenaan,” katanya.

Syed Mohamad Hasrin berkata pihaknya turut memantau amaran keselamatan yang dikeluarkan pihak berkuasa Nepal berhubung risiko limpahan air dari kawasan sempadan.

Beliau berkata keadaan di kawasan terjejas kekal mencabar dan status keselamatan boleh berubah dengan pantas manakala operasi mencari dan menyelamat turut berdepan kekangan akibat keadaan cuaca serta kerosakan infrastruktur.

Keadaan itu menyebabkan usaha mengesan rakyat Malaysia mengambil masa selain faktor keselamatan pasukan penyelamat turut perlu diberi keutamaan.

“Kita mengharapkan yang terbaik… tetapi dalam keadaan ini agak sukar, pihak berkuasa di sana pun rakyat mereka terlibat… keadaan pun teruk, jalan terputus… jambatan (runtuh) dan sebagainya,” katanya.

Bilik operasi Kementerian Luar di Putrajaya kini beroperasi 24 jam sehari bagi menyelaras maklumat, membantu rakyat Malaysia di kawasan terjejas dan memberikan maklumat mengenai perkembangan terkini kepada ahli keluarga.

Syed Mohamad Hasrin berkata angka rakyat Malaysia yang masih belum dapat dihubungi diperoleh daripada pelbagai sumber termasuk pihak berkuasa Nepal, Tourism Malaysia, pengendali pelancongan dan ahli keluarga.

Beliau berkata dalam tempoh dua hingga tiga jam pertama selepas bilik operasi beroperasi, kementerian menerima antara 12 hingga 15 panggilan daripada ahli keluarga dan rakan yang ingin mendapatkan maklumat mengenai rakyat Malaysia yang dipercayai berada di Nepal.

Sehubungan itu, kementerian menggesa ahli keluarga yang mempunyai maklumat berkaitan supaya menghubungi bilik operasi dengan memberikan butiran seperti nama penuh, nombor pasport, jadual perjalanan, lokasi terakhir dan nombor telefon yang boleh dihubungi.

Rakyat Malaysia yang mempunyai maklumat berkaitan boleh menghubungi Bilik Gerakan Putrajaya di talian utama +603 8887 4570 atau e-mel dutyofficer@kln.gov.my. – Bernama

 

 

 

 

Scroll to Top