Istiadat Menjunjung Duli tangguh, Sultan Selangor gering kerana Influenza

Istiadat Menjunjung Duli tangguh, Sultan Selangor gering kerana Influenza

SHAH ALAM: Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Sharafuddin Idris Shah pada esok ditangguhkan selepas baginda dilaporkan gering akibat dijangkiti Influenza A.

Setiausaha Sulit kepada Sultan Selangor, Datuk Mohd. Munir Bani berkata, bagaimanapun selepas menerima rawatan daripada doktor-doktor peribadi, keadaan kesihatan baginda dilaporkan semakin baik sejak gejala jangkitan dikesan pada pagi semalam.

Katanya, doktor-doktor peribadi yang merawat Sultan Sharafuddin, Datuk Dr. Anuar Onah dan Datuk Dr. Tan Hui Meng memberitahu baginda ketika itu mengalami demam panas yang tinggi serta lemah anggota badan.

Memuatkan artikel berkaitan…

“Berdasarkan penilaian mereka (doktor perubatan), baginda berkemungkinan mendapat jangkitan ketika menghadiri majlis keramaian dan berinteraksi dengan orang ramai, termasuk di kawasan terbuka.

“Alhamdulillah, keadaan kesihatan baginda kini beransur pulih, namun baginda masih mengalami demam. Sehubungan itu, doktor-doktor yang merawat menasihatkan agar baginda berehat dan tidak menghadiri sebarang majlis bagi tempoh lima hingga tujuh hari bagi membolehkan baginda pulih sepenuhnya,” katanya dalam kenyataan di sini, hari ini.

Justeru Mohd. Munir memaklumkan Istiadat Menjunjung Duli dan Istiadat Pengurniaan Darjah Kebesaran Selangor sempena Sambutan Jubli Perak Pemerintahan Sultan Selangor yang dijadualkan berlangsung pada esok, ditangguhkan ke Sabtu hadapan.

“Semua pihak yang terlibat dimohon mengambil maklum mengenai perubahan tarikh tersebut. Kerjasama dan perhatian semua pihak amat dihargai.

“Marilah kita bersama-sama mendoakan agar Allah SWT mengurniakan kesembuhan segera kepada Sultan Selangor serta melimpahkan kesihatan dan kesejahteraan yang berpanjangan kepada baginda,” ujarnya. – UTUSAN

Scroll to Top