Dakwaan wujud kandang babi di Taman Rimba Bukit Lagong adalah palsu – MPS

Dakwaan wujud kandang babi di Taman Rimba Bukit Lagong adalah palsu – MPS

asmaini@mediaprima.com.my

Kuala Lumpur: Dakwaan pengguna media sosial kononnya terdapat kandang ternakan babi di kawasan Taman Rimba Bukit Lagong, Batu Caves, Selangor, didapati tidak berasas.

Majlis Perbandaran Selayang (MPS) dalam kenyataan hari ini berkata, pihaknya mengambil maklum berhubung satu hantaran di aplikasi Thread mendakwa terdapat kandang ternakan babi di kawasan berkenaan.

“Susulan dakwaan itu MPS melaksanakan pemeriksaan di kawasan dinyatakan itu termasuk menggunakan dron bagi pemantauan udara.

“Hasil pemeriksaan mengesahkan dakwaan kewujudan kandang ternakan babi di kawasan berkenaan adalah tidak benar,” katanya.

Susulan itu MPS memandang serius penyebaran dakwaan tidak berasas yang berpotensi menimbulkan kekeliruan dan kegusaran dalam kalangan masyarakat.

MPS turut membuat laporan polis serta aduan kepada Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) bagi membolehkan siasatan serta tindakan lanjut diambil.

Justeru, orang ramai dinasihati sentiasa menyemak kesahihan sesuatu maklumat sebelum mempercayai atau menyebarkannya kepada umum.

“MPS turut menggalakkan orang ramai supaya menyalurkan sebarang aduan atau maklumat berkaitan melalui saluran rasmi bagi membolehkan semakan dan tindakan sewajarnya dilaksanakan.

“Untuk pengesahan maklumat rasmi, orang ramai boleh menghubungi Bahagian Komunikasi Korporat MPS di talian 036126 5824 atau melalui emel korporat@mps.gov.my,” katanya.

Semalam, tular di laman media sosial mengenai dakwaan terdapat kandang babi di kawasan berkenaan.

© New Straits Times Press (M) Bhd

Scroll to Top