KUALA LUMPUR: Timbalan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan malam ini tampil menjelaskan isu ketiadaan nama Ahli Majlis Kerja Tetinggi (MKT) UMNO, Datuk Seri Tengku Zafrul Abdul Aziz pada Pilihan Raya Negeri (PRN) Selangor).
Menurut Mohamad, senarai nama calon bagi enam PRN dikemukakan oleh Badan Perhubungan Negeri masing-masing.
“Jadi terpulang kepada Badan Perhubungan (negeri) masing-masing untuk menamakan (calon) dan kami saring mana yang sesuai.
“Kita (kepimpinan utama BN) bincang semula dengan Badan Perhubungan dan secara persetujuan bersama kita akan memilih calon terbaik wakili parti,” katanya.
Beliau berkata demikian kepada media selepas menghadiri majlis pengumuman calon BN PRN di Pusat Dagangan Dunia (WTC) di sini.
Mohamad menjawab pertanyaan media mengenai ketiadaan nama Tengku Zafrul sebagai calon bagi PRN Selangor pada 12 Ogos depan.
Terdahulu, nama Menteri Pelaburan, Perdagangan, dan Industri itu tidak diumumkan bersama dengan 12 calon BN yang disenaraikan pada PRN Selangor.
Ketua UMNO Bahagian Kota Raja itu sebelum ini disebut-sebut bakal bertanding di Dewan Undangan Negeri (DUN) Sungai Kandis.
Ditanya sama ada akan ada pertambahan nama calon di saat akhir, Mohamad tidak menolak kemungkinan itu boleh berlaku.
“Kadang-kadang watikah (calon) tukar, jadi kita tak tahu (samada bertambah atau tidak),” ujarnya.
Sementara itu, Mohamad berkata, satu kerusi DUN di Terengganu belum diumumkan malam ini.
“Cuma ada satu DUN yang kita belum namakan di Terengganu kerana kita buat saringan-saringan tertentu, seperti biasa,” katanya.
Beliau bagaimanapun tidak memperincikan kerusi DUN tersebut. –UTUSAN

