100,000 rakyat berkerja di Singapura dijangka terima vaksin fasa kedua

100,000 rakyat berkerja di Singapura dijangka terima vaksin fasa kedua

Pontian: Seramai 100,000 rakyat Malaysia yang bekerja di Singapura dijangka menerima vaksin pada fasa kedua Program Imunisasi Covid-19 Kebangsaan (PICK).

Menteri Besar, Datuk Hasni Mohammad berkata, kini satu sistem sedang dibangunkan bagi membolehkan mereka mendaftar dan mengikuti program berkenaan.

“Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI) mengadakan satu program khas bertujuan memberi vaksin awal kepada mereka yang perlu bekerja ulang-alik ke Singapura.

“Saya menganggarkan 400,000 orang yang bekerja di Singapura berulang-alik setiap hari, mereka adalah yang layak untuk menerima vaksin itu.

“Di peringkat awal ini, kementerian (MOSTI) akan ketepikan vaksin untuk 100,000 orang dahulu,” katanya pada sidang media selepas menyempurnakan Program Mentor Mentee Pertubuhan Peladang Daerah Pontian di Parit Dahlan, Benut di sini, hari ini.

Turut hadir, Pengerusi Jawatankuasa Pertanian, Industri Asas Tani dan Kemajuan Luar Bandar negeri, Datuk Samsolbari Jamali.

Pada program berkenaan, seramai 24 peserta terdiri daripada empat Pertubuhan Peladang Kawasan (PPK) yang terbabit secara langsung dalam projek tanaman pertanian.

Hasni berkata, kerajaan negeri menggalakkan inisiatif itu apatah lagi Johor mempunyai potensi baik menjadi pengeluar makanan khususnya buah-buahan yang terbesar dalam negara.

“Sekiranya dapat mengeluarkan hasil pertanian yang berkualiti dan diperlukan pasaran, maka pusat pengumpulan peladang akan membantu memberi hasil yang bernilai,” katanya.

Scroll to Top